MALAYSIA perlu melihat India sebagai pasaran pelancongan seterusnya selepas China bagi menjana pendapatan negara menerusi pelancong dari negara itu, kata pemain industri pelancongan.
Untuk merealisasikannya kata mereka, Putrajaya perlu menawarkan prosedur pengeluaran visa yang lebih mudah dan mempromosikan lebih banyak destinasi pelancongan tempatan.
Menurut data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, secara purata pelancong India membelanjakan RM4,712 seorang untuk 6.8 malam di Malaysia. Pelancong China meluangkan masa 6.1 malam di negara ini.
Secara perbandingan, pelancong Indonesia dan Arab Saudi membelanjakan per kapita paling tinggi ketika melancong ke Malaysia iaitu pada RM11,069 seorang, diikuti pelancong Britain (RM5,212), Amerika (RM4,506), China (RM4,411) dan Jepun (RM4,113).
Pada tiga bulan pertama tahun ini, jumlah pelancong India meningkat 18.6% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, daripada 133,015 kepada 157,690. Mereka kini berada pada kedudukan keenam jumlah pelancong paling tinggi melawat Malaysia, manakala China berada di kedudukan ketiga.
Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (Mita) Uzaidi Udanis memberitahu The Malaysian Insight, ketika kerajaan memfokuskan kepada China, ia tidak boleh mengabaikan pasaran India kerana kedua-duanya merupakan negara berpopulasi tinggi di dunia.
Menurutnya, komuniti kaya di India juga besar dan berpotensi menjadi pasaran besar.
Bagaimanapun kata Uzaidi, Malaysia kekurangan restoran India mewah, yang mejadi penghalang kepada tarikan pelancong kaya dari India.
“Kita tidak memiliki restoran India mewah kerana kekurangan cef dan juga rempah ratus yang digunakan untuk hidangan itu,” katanya.
Tambah Uzaidi, Malaysia menjadi destinasi untuk majlis perkahwinan bagi warga India kerana kosnya lebih murah di sini.
Uzaidi bagaimanapun berkata, tidak banyak tarikan di Malaysia yag mampu membawa pelancong India ke negara ini.
“Apa lagi tempat menarik di Kuala Lumpur? Selain Menara Berkembar dan Batu Caves, kita kekurangan infrastruktur pelancongan. Pelancong India sukakan pelayaran mewah, jadi kita berharap lebih ramai daripada mereka akan ke Langkawi,” katanya.
Hubungan langsung dan masalah visa
Setiausaha Agung Mita Adam Kamal berkata, sistem e-visa untuk warganegara India juga bermasalah dan tidak semudah sistem Thailand.
Adam berkata, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak penerbangan terus ke Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Langkawi.
“Kami harap mereka yang di belakang Tahun Melawat Malaysia 2020 boleh menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk menarik lebih ramai pelancong dari India, seperti mengetengahkan kehidupan malam di Malaysia.
“Di Singapura, terdapat lebih 20 aktiviti malam, jadi pelancong suka ke sana,” katanya.
Walaupun India merupakan pasaran pelancongan yang sedang berkembang, ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mengkritik negara itu berhubung konflik di Kashmir sedikit sebanyak memberi kesan kepada sesetengah pihak di India, dengan kempen #Boycott Malaysia tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, Adam dan Uzaidi berkata setakat ini pelancong dari India tidak membatalkan perjalanan mereka ke Malaysia.
Pengurus Red Apple Travel and Tour Sdn Bhd Lynn berkata, sambutan Deepavali merupakan musim puncak ketibaan pelancong dari India dan setakat ini tiada pembatalan.
Pengarah The Traveller Jessica Koh turut menyatakan perkara sama dan berkata, 1,500 tempahan dengan syarikat itu diteruskan sebagaimana yang dirancang.
Koh berkata bilangan pelancong terjejas sedikit disebabkan oleh sekatan kerajaan India yang semakin meningkat akibat kempen anti-rasuahnya sendiri dan bukan kerana boikot.
Adam juga berkata walaupun sesetengah agensi perjalanan di India mengumumkan mereka mengambil bahagian dalam boikot, ia tidak mendapat sambutan dan tidak menjejaskan ketibaan pelancong dari India.
Beliau berkata tempoh selepas Oktober adalah luar musim puncak bagi industri pelancongan dan ketibaan pelancong India secara langsung akan berkurangan. Ia dijangka meningkat semula pada musim cuti akhir tahun. – 27 Oktober, 2019.
Komen