LANGSUNG: Najib lulus pinjaman RM550 juta, kata peguam negara


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 selain enam lagi pertuduhan jenayah dalam perbicaraan SRC International.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2019.

PERBICARAAN SRC International kini di peringkat penghujahan yang mana peguam akan berhujah sekiranya Najib Razak, yang berdepan tujuh pertuduhan jenayah, perlu membela diri kerana didakwa menyeleweng dana awam berjumlah RM42 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan mendengar penghujahan daripada peguam bela dan pihak pendakwaan sama ada wujud prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Sekiranya ada, Najib akan diminta membela diri.

Nazlan akan membuat keputusannya pada 11 November.

Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad Najib ditangguhkan sementara peguam menyerahkan penghujahan mereka dalam beberapa hari lagi.

Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim yang mempengerusikan perbicaraan 1MDB, Collin Lawrence Sequerah bahawa penyerahan bertulis peguam bela mungkin sepanjang 1,000 muka surat.

Pendakwaan kes SRC International menyaksikan 57 saksi memberi keterangan dalam 57 pendengaran bermula 3 April hingga 27 Ogos lalu.

Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pendakwaan hari ini, memaklumkan mahkamah sebelum ini senarai 66 saksi telah disediakan sekiranya peguam bela dipanggil kemudian.

Nazlan sebelum ini berkata, perbicaraan akan diteruskan pada 3 Disember hingga 19 Disember jika Najib diarahkan untuk membela diri, sama ada untuk semua pertuduhan atau sebahagian daripadanya.

Pertuduhan Najib dalam kes SRC International adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada sebuah entiti pada 2011 dan 2012, yag mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Keseluruhannya, Najib menghadapi 42 pertuduhan, melalui lima perbicaraan jenayah.

Perbicaraan 1MDB melibatkan jumlah yang paling besar, dengan keseluruhannya RM2.282 bilion yang didakwa diterima oleh beliau antara 2011 dan 2014.

Bagi perbicaraan lain yang masih belum didengar, Najib berdepan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan RM6.6 juta dana kerajaan yang digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC); satu pertuduhan mengubah laporan audit 1MDB; dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.

Perbicaraan akan berlangsung satu per satu kerana sebagai tertuduh, Najib perlu hadir pada semua pendengaran perbicaraan jenayah, dan juga perkara interlokutari bagi memastikan perbicaraan dijalankan secara adil. 

Bekas perdana menteri Najib Razak meluluskan dua pinjaman  berjumlah RM550 juta, tanpa mendapat kelulusan kerajaan untuk SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2019.

The Malaysian Insight membawakan secara langsung perbicaraan hari ini:

4.18pm: Pihak pendakwa meminta perbicaraan ditangguhkan dan Hakim Nazlan bersetuju untuk disambung esok pada jam 9 pagi.

3.56pm: Thomas berkata Najib perlu menjelaskan mengenai cek yang dikeluarkannya - terdapat kira-kira 100 cek daripada kedua-dua akaun tersebut.

Beliau berkata ia signifikan bahawa tiada satu pun cek ditendang, walaupun memperoleh pendapatan kurang RM1 juta setahun.

Beliau berkata Najib tidak pernah menghubungi banknya, tidak pernah menyaman bank atau memaklumkan kepada mereka, oleh itu pembelaan perlu dibuat untuk membolehkan Najib menjawab kesemua persoalan ini.

3.54pm: Thomas berkata pembelaan perlu dibuat kerana ada keperluan bagi Najib untuk menjelaskan mengapa beliau mengakui menerima wang itu dalam afidavitnya ketika memulakan tindakan undang-undang terhadap Ling Liong Sik.

Beliau berkata Najib sepatutnya merujuk kembali kepada bank dan memberitahu terdapat dana salah dikreditkan dalam akaunnya.

3.30pm: Thomas pergi kepada tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadap Najib.

3.16pm: Tiada sebarang keraguan tertuduh menerima wang tersebut dan membelanjakannya, kata Thomas.

3.08pm: Thomas berkata Najib mempunyai peranan sangat penting bagi setiap langkah transaksi dari KWAP kepada SRC International.

Apabila SRC International tidak dapat membayar pinjamannya, Najib secara peribadi meluluskan dua pinjaman berjangka berjumlah RM250 juta dan RM300 juta, yang kesemuanya berjumlah RM550 juta, tanpa mendapat kelulusan kerajaan, bagi entiti untuk membayar balik KWAP, mahkamah diberitahu.

2.59pm: Thomas berkata, jaminan kerajaan untuk pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion oleh KWAP diberikan selepas jumlah itu masuk ke akaun SRC International.

Ia merupakan rekod bagi kerajaan Malaysia membelanjakan RM2 bilion kepada SRC International hanya dalam tempoh 12 hari, katanya.

2.55pm: Najib dijadikan “maharaja” SRC International, kata Thomas kerana MNA menyatakan beliau mempunyai kuasa melantik dan memecat.

“Ia jelas bahawa kata-katanya adalah undang-undang.”

Selepas entiti terbentuk, beliau berkata ia memerlukan modal pinjaman, yang bermaksud terdapat keperluan untuk meminjam.

Beliau berkata SRC International meminjam sebanyak RM2 bilion, sambil menambah tiada sesiapa dalam sektor swasta akan mengambil risiko sedemikian besar untuk memberikan entiti jumlah sebesar itu.

2.54pm: Thomas juga memberitahu satu contoh pada 2015, ketika Najib memecat timbalan perdana menteri dan peguam negara ketika itu.

Beliau berkata Najib jelas terlibat dalam penubuhan SRC International. Beliau berkata memorandum dan artikel persatuan (MNA) untuk SRC International mempunyai nama bekas perdana menteri di dalamnya. Beliau mengatakan ini luar biasa, “malah Petronas tidak ada”.

2.50pm: Thomas berkata Najib sepatutnya mengisytiharkan kepentingan peribadinya dan mengundurkan diri daripada mesyuarat Kabinet yang menjadikan SRC International dalam agenda, kerana beliau adalah penasihat emeritus kepada entiti itu.

Bagaimanapun, Najib tidak berbuat demikian, katanya.

2.39pm: Mahkamah bersidang semula.

Thomas memberitahu Nazlan mengenai pertuduhan Najib di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM42 juta untuk dirinya sendiri.

12.57pm: Mahkamah berhenti rehat.

12.56pm: Thomas berkata beliau akan berhujah mengenai satu pertuduhan bawah Akta SPRM dan tiga pertuduhan Amla. Beliau minta untuk bermula selepas makan tengah hari.

12.55pm: Sithambaram mengatakan ada bukti Najib telah melakukan CBT.

“Melihat semua bukti, (perkara itu) telah ditangani secukupnya.”

Beliau berhujah mengenai dakwaan CBT, pihak peguam bela perlu dipanggil.

12.49pm: Sithambaram berkata, “derma Arab Saudi” tiada kena mengena dengan RM42 juta dalam akaun Najib, sebagaimana yang didakwa sebelum ini oleh bekas perdana menteri itu.

12.46pm: Sithambaram berhujah bahawa Najib tidak boleh mendakwa tidak tahu mengenai dana dalam akaunnya kerana beliau sedia mengeluarkan cek “pada bila-bila masa”, justeru, beliau akan tahu jumlah wang dalam akaunnya, “melainkan tertuduh percaya wang itu tumbuh dari pokok”.

12.37pm: Pihak pendakwa berhujah bahawa reaksi mengejut Najib terhadap RM42 juta dalam akaunnya hanyalah lakonan.

Sithambaram berkata, orang biasa akan membuat laporan polis mengenai wang itu, dan menambah tertuduh juga boleh menyaman bank kerana membenarkan dana disalurkan ke akaunnya tanpa kebenaran.

“Tertuduh boleh meminta polis untuk siasat. Tiada satu pun daripada perkara ini dibuat.”

12.21pm: Sithambaram berkata tidak pernah terdapat sebarang debit atau urus niaga kredit yang salah dari SRC International berdasarkan tandatangan e-tandatangan yang dipotong dan tampal, yang dibantah oleh pembelaan itu.

Beliau berkata Najib mempunyai pengetahuan bahawa berjuta-juta telah keluar dari SRC International dan e-tandatangan adalah perkara biasa di bank.

12.18pm: Sithambaram berkata wang yang masuk ke SRC International adalah satu arah, bermakna dana itu masuk ke entiti dan keluar ke akaun Najib.

Beliau berkata mereka hanya boleh membuktikan bahawa RM42 juta itu masuk ke akaun Najib, dan dana lain mungkin berada di tempat lain.

12.15pm: Sithambaram berhujah bahawa tindakan perdana menteri itu adalah konsisten dengan CBT.

12.07pm: Bagi tiga peruduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Sithambaram berkata Najib, dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC International, mempunyai kuasa ke atas entiti itu dan melakukan CBT berkaitan RM42 juta.

12.04pm: Pendakwa memulakan penghujahan balas. Sithambaram berkata RM3.6 bilion berada dalam akaun bank di Switzerland dan tidak boleh dibawa ke Malaysia.

Beliau berkata Najib diamanahkan dengan kawalan ke atas SRC International, dan menyalahgunakan kuasanya dengan menyeleweng dana.

Peguam Negara Tommy Thomas (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Beliau mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2019

11.53am: Perbicaraan bersambung. Peguam bela selesai sebahagian penghujahan mengenai pendakwaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Harvinderjit meneruskan penghujahan untuk pertuduhan lain.

11.20am: Peguam bela selesai memberi penghujahan. Mahkamah berhenti rehat.

11.17am: Harvinderjit berkata jumlah tertulis pada cek yang ditulis oleh Najib tidak sama dengan dana dalam akaun peribadi Ambank miliknya.

11.09am: Harvinderjit berkata RM4 bilion yang masuk ke SRC International telah dikeluarkan pada hari yang sama, dan tiada sesiapa pun boleh memberitahu apa yang berlaku kepada wang itu.

“Akhirnya, lembaga pengarah tidak tahu apa-apa mengenai aliran wang itu.”

Sekiranya lembaga pengarah tidak tahu apa-apa katanya, maka “pengarah bayangan” Najib juga tidak tahu apa-apa tentang dana itu, kerana beliau memerlukan kelulusan lembaga pengarah untuk mendapatkan wang berkenaan.

10.54am: Harvinderjit berkata hujah pendakwaan bahawa Najib merancang untuk mencuri RM42 juta tidak masuk akal kerana SRC International mempunyai ahli lembaga pengarah dan melalui proses yang betul.

Ia tidak mungkin untuk Najib mempunyai rancangan seperti itu apabila menubuhkan entiti itu, katanya.

10.48am: Mengikut undang-undang kes, Harvinderjit menetapkan peranan Najib sebagai penasihat kepada lembaga pengarah SRC International.

10.08am: Harvinderjit bertanya apa sebenarnya yang boleh didedahkan oleh Najib. Beliau menyifatkan hujah pendakwaan sebagai “lemah”.

Beliau berkata, apa yang penting Najib telah bertindak untuk kepentingan negara dengan niat yang terbaik. Beliau berkata, ini dilakukan menerusi kelulusan pinjaman KWAP, serta dalam mesyuarat kabinet.

9.59am: Farhan memberitahu hakim, Najib tidak berniat untuk hadir ke mesyuarat kabinet bagi mendapatkan RM42 juta, dan menyatakan Najib menerima wang berkenaan hanya selepas dua atau tiga tahun kemudian.

Beliau berkata, perbualan antara ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu juga menunjukkan Najib tidak tahu mengenai perkara itu.

9.50am: Farhan memberitahu hakim mereka hanya menganalisis bentuk gratifikasi yang diterima, dan bukan karakter gratifikasi.

9.49am: Peguam bela berhujah bahawa RM42 juta yang dirujuk di bawah Seksyen 23 Akta SPRM perlu dirujuk kepada transaksi berikut:

(a) Pada 26 Disember, 2014 RM27 juta didepositkan ke akaun Najib yang nombor terakhirnya 880 daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB);

(b) Pada 26 Disember, 2014, RM5 juta didepositkan ke akaun Najib yang nombor terakhirnya 906 daripada IPSB; dan,

(c) Pada 10 Februari, 2015, RM10 juta didepositkan ke akaun Najib yang nombor terakhirnya 880 daripada IPSB.

9.47am: Farhan bercakap tentang salah satu pertuduhan Najib, di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau berkata, di bawah pertuduhan ini, ia perlu dibuktikan Najib adalah penjawat awam; telah menggunakan kedudukannya dengan mengambil bahagian atau melibatkan diri dalam mesyuarat kabinet pada 17 Ogos, 2011 dan 8 Februari, 2012, yang mana mana kabinet memutuskan untuk memberi jaminan kerajaan berkenaan dengan pinjaman SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP); dan, secara rasuah berhasrat memperolehi RM42 juta untuk dirinya sendiri.

9.34am: Farhan memulakan hujah pembelaan.

9.27am: Thomas meminta penghujahan dibuat dalam masa dua hari sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

Nazlan yakin ia boleh diselesaikan dalam masa sehari, selepas membaca penghujahan kedua belah pihak. Beliau menjangkakan penghujahan selesai esok.

“Sebagai panduan umum, 45 minit untuk kedua belah pihak fokuskan kepada setiap kesalahan,” kata hakim dan menambah beliau akan bertanyakan soalan sepanjang penghujahan.

Harvinderjit dan Sithambaram, yang akan membantu penghujahan bersetuju.

9.26am: Perbicaraan SRC International bermula di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Bekas perdana menteri Najib Razak mengambil tempat. Turut hadir peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, Farhan Read dan Harvinderjit Singh.

Peguam Negara Tommy Thmas dan V, Sthambaram mewakili pendakwaan.

Turut kelihatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hadir sejak jam 8.30 pagi dan duduk di galeri awam. Beliau datang tanpa pengiring. – 22 Oktober, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen