Kes cabul pelajar tahfiz digugur kerana bukti tidak cukup, kata Peguam Negara


Timothy Achariam

Peguam Negara Tommy Thomas berkata polis sudah menyiasat kes penderaan seksual pelajar tahfiz sebanyak dua kali dan DPP tidak dapat menemui kes prima facie. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

POLIS sudah menyiasat suspek kes penderaan seksual pelajar tahfiz sebanyak dua kali sebelum kes itu digugurkan kerana bukti tidak mencukupi, kata Tommy Thomas.

Peguam negara berkata pada September 2016, selepas membuka kertas siasatan berhubung perkara itu, timbalan pendakwa raya (DPP) yang ditugaskan ketika itu berpendapat tiada kesalahan dilakukan.

“(Ini berlaku) Memandangkan tiada bukti lain sedia ada ketika itu untuk polis melakukan siasatan lanjut, ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) diperintahkan oleh DPP pada September 2016,” kata Thomas dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu dibuka semula pada Februari 2017 dengan kemunculan bukti baru yang berpotensi.

“Kertas Siasatan dibuka semula pada Februari 2017 berikutan adanya bukti baru dan Kertas Siasatan dihantar semula ke Pejabat ini (Peguam Negara),” katanya.

Beliau berkata DPP yang ditugaskan untuk kes itu meneliti semua bukti baru, tetapi tidak dapat menemui kes prima facie.

“DPP yang ditugaskan mengendalikan kes bertindak membuat semakan setiap bukti yang disediakan oleh polis, termasuk bukti baru. Oleh kerana bukti tidak mencukupi untuk membuktikan kes prima facie terhadap suspek atau orang lain, DPP membuat kesimpulan kali kedua pada Februari 2018 bahawa siasatan tidak perlu diteruskan,” katanya.

Siasatan kes itu bermula selepas seorang wanita membuat laporan polis pada 14 Ogos 2016, mendakwa anaknya, berusia 10 tahun, dicabul secara seksual oleh tiga pelajar senior berusia antara 12 dan 18 tahun di Sekolah Tahfiz di Manjoi, berhampiran Ipoh. – 21 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen