TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, James Masing mempunyai penyelesaian luar biasa bagi masalah lumba haram luar bandar di negeri ini.
Masing yang juga menteri pembangunan infrastruktur negeri, mengancam menghentikan semua kerja pembaikan jalan rosak bagi menghalang remaja menjadikan ia trek perlumbaan.
Ia susulan pendedahan statistik terkini yang menunjukkan lima remaja, berumur bawah 18 tahun, meninggal dunia dua bulan lepas akibat berlumba di jalan luar bandar di Kapit.
Laluan Jalan Silirek adalah “jalan paling berbahaya di bandar,” kata Masing.
“Kementerian saya meningkatkan kualiti jalan raya. Kami turap semula jalan raya, kambus lubang dan memperbetulkan parit,” kata Masing kepada ibu bapa semasa menghadiri ceramah keselamatan anjuran Institut Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (NIOSH).
“Seluruh jajaran lancar, lurus dan bebas daripada halangan. Pengguna jalan raya biasa menghargainya.
“Bagaimanapun, pelumba muda menggunakan laluan ini sebagai trek perlumbaan mereka yang berakhir dengan kemalangan maut.”
Masing berkata beliau “berfikir dua kali” sama ada kementeriannya perlu membaiki jalan raya yang rosak jika remaja akan menggunakannya untuk aktiviti haram seperti berlumba.
“Terdapat jalan lain di Sarawak, selain Kapit yang perlu diperbaiki.
“Saya tidak mahu bertanggungjawab menggalakkan pengguna jalan raya semberono dan tidak bertanggungjawab dan kematian mereka.”
Kapit, kira-kira 127km dari bandar Sibu, terpencil tanpa jalan raya yang menghubungkannya ke bandar besar.
Satu-satunya cara untuk sampai ke Kapit adalah dengan menaiki bot ekspres.
Justeru, bilangan kereta tidak begitu banyak di bandar, dan pengangkutan yang banyak digunakan adalah motosikal. – 21 April, 2017.
Komen