Kerajaan jangan alergik umum bantuan sebab ada pilihan raya, kata menteri


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Menteri Pertanian Salahuddin Ayub berkata menjadi tugas menteri sentiasa mengumumkan peruntukan dan perolehan yang terjamin kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

PERUNTUKAN sebanyak RM3 juta untuk naik taraf jeti nelayan di Tanjung Piai, Johor bukan gula-gula pilihan raya seperti didakwa pembangkang, kata Menteri Pertanian Salahuddin Ayub.

Katanya, kerajaan tidak perlu alergik untuk tidak mengumumkan peruntukan dan bantuan kepada rakyat, terutama bagi keperluan mendesak, hanya semata-mata kerana ada pilihan raya.

“Peruntukan dah sampai saya kena umumkan, takkan nak tunggu. Tugas menteri sentiasa mengumumkan peruntukan dan perolehan yang terjamin kepada rakyat.

“Itu polisi kepada rakyat dan saya akan lakukan sepanjang masa. Saya tak tunggu waktu tertentu,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menuduh Pakatan Harapan (PH) menyalahgunakan kedudukan dan jentera kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan bulan depan.

Ismail Sabri berkata PH mungkir janji untuk memastikan pilihan raya bebas dan adil sebaliknya mengumumkan beberapa bantuan untuk Tanjung Piai, yang bersesuaian dengan kepentingannya.

Menurut Salahuddin, kerja-kerja menaik taraf jeti di Tanjung Piai akan bermula tahun depan.

Beliau juga menjelaskan pengumuman peruntukan itu bukan kebetulan untuk pilihan raya kerana ia telah dirancang lama oleh wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik.

“Kita bertanggunghawab  untuk tunaikan janji Farid.Jadi kita umumkan selepas kematian beliau. Itu tanggungjawab kita.

“Kita tak perlu alergik atau  rasa bersalah dengan pilihan raya,” katanya.

Selain Salahuddin, sekurang-kurangnya dua menteri persekutuan turut mengumumkan bantuan dan peruntukan untuk Tanjung Piai, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun minggu lalu menyampaikan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada ketua kampung dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Beliau juga mengumumkan pemasangan lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar di Tanjung Piai dengan kos RM127,776, untuk keselamatan pengguna pada waktu malam.

Tindakannya turut dikritik badan pemantau pilihan raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hujung minggu lalu mengumumkan peruntukan persekutuan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

Katanya, peruntukan itu sebahagian daripada keseluruhan RM14.6 juta yang dipohon Dr Md Farid, yang meninggal dunia bulan lepas. – 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen