CARA terbaik memuaskan hati negara berbilang kaum ialah memastikan tidak ada sesiapa pun puas hati, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata untuk Malaysia, strategi amat penting dan itu sebabnya negara ini menyaksikan banyak wawasan tetapi malangnya sebahagian daripadanya bertindih.
“Tetapi tidak mengapa asalkan matlamat tercapai,” kata Dr Mahathir.
“Strategi kita banyak bergantung pada kestabilan dan keamanan dalam negara dan lakukan apa yang rakyat akan puas hati atau lebih atau kurang puas hati dengan apa yang berlaku dalam negara dan dengan tadbir urus negara ini.
“Cara terbaik untuk memuaskan hati negara majmuk ialah memastikan tiada siapa yang gembira. Bila anda cuba membuat mana-mana kumpulan gembira, mereka akan menyebabkan orang lain tidak gembira,” katanya di persidangan Malaysia Beyond 2020 hari ini.
Perdana menteri berkata itu bermakna kerajaan perlu tolak ansur dengan semua pihak.
Dr Mahathir berkata amat penting untuk negara ini mempunyai strategi jelas bagi mencapai matlamat.
Katanya, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini sebenarnya pelan 40 tahun, bukannya 10 tahun, kerana ia bertindak sebagai lanjutan Wawasan 2020 yang dimulakan pada 1990-an.
“Walaupun kita mungkin merasakan kekurangan kerana ada matlamat dalam Wawasan 2020 tidak dapat dicapai tahun depan, kita tidak ada banyak masa dan perlu cari di mana salahnya dan bagaimana memperbaikinya.
“Pada 1991, negara kita ada impian, yang dijanjikan pada kita pembangunan holistik dan komprehensif yang akan meletakkan kita setaraf dengan negara membangun lain di dunia.” – 21 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen