RAKYAT boleh menulis surat kepada Dewan Rakyat untuk menyemak kehadiran ahli Parlimen mereka, kata Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon.
Beliau berkata dengan cara ini rakyat boleh mendapat maklumat lebih telus tentang kehadiran ahli Parlimen mereka memandangkan tiada peraturan ditetapkan untuk mendedahkan nama wakil rakyat mereka secara umum.
“Mereka (orang ramai) boleh tulis terus kepada kami,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Pada masa sama beliau berkata Dewan Rakyat juga akan memantau prestasi kehadiran ahli Parlimen.
“Kami akan tengok mana ahli Parlimen yang kehadiran baik atau tidak,” katanya.
Rashid mengulas isu kehadiran ahli Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat, yang dikritik oleh pembangkang minggu lalu.
Pada Khamis lepas, Timbalan Speaker Nga Kor Ming terpaksa mengarahkan loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama seminit selepas jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020.
Menurut Rashid, isunya bukan ahli Parlimen tidak hadir tetapi mereka tidak masuk ke dewan semasa persidangan berlangsung.
“Sebenarnya mereka ada di kawasan Parlimen tapi mereka tidak berada di dalam dewan.
“Sebab itu peringatan diberi kepada semua ahli Parlimen untuk hadir setiap masa dan bentara boleh bantu speaker untuk semak kehadiran dalam dewan,” katanya.
Kata Rashid lagi, jawatankuasa Parlimen tidak ada perancangan buat masa ini untuk mendedahkan kepada umum mengenai rekod kehadiran ahli Parlimen mereka.
Beliau bagaimanapun tidak menolak Dewan Rakyat mungkin akan melaksanakan tindakan itu kelak.
“Untuk peringkat ini kami boleh dapat nama mereka tapi tak sesuailah untuk kita dedahkan.
“Tapi pandangan saya kita boleh buat (dedah senarai nama) untuk sedar ahli Parlimen. Kita boleh bawa dalam perbincangan,” katanya. – 21 Oktober, 2019.
Komen