Ramasamy hadir di Bukit Aman, pertahan hak bersuara


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan satu artikel yang disiarkan sebuah portal berita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mempertahankan kebebasan bersuara yang dilindungi oleh undang-undang dan berharap siasatan terhadapnya tidak ada campur tangan politik.

Katanya, sebagaimana polis ada hak untuk melakukan siasatan, beliau juga ada hak untuk menyuarakan pandangan.

“Saya tidak rasa begitu (dipanggil kerana ada unsur politik). Ini juga bukan persoalan mengenai kaum India, Cina atau Melayu,” katanya, menjawab soalan wartawan.

Ramasamy ditemui ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pukul 9.50 pagi tadi, ditemani peguamnya K Ragunath, yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

“Saya rasa polis ada kuasa dan hak untuk merakam keterangan daripada saya, jadi saya akan kata saya sentiasa bebas meluahkan pendapat. Malaysia bebas bersuara sekarang berbanding kerajaan dahulu.

“Saya seorang warga negara Malaysia berhak menulis dan berucap tentang beberapa isu. Jadi terpulang kepada pihak polis dan mana-mana pihak berkuasa untuk anggap adakah ini bertentangan dengan undang-undang di Malaysia,” katanya.

Menurut Ramasamy, beliau dipanggil ke Bukit Aman berhubung dua artikel yang masing-masing disiarkan di portal berita Malaysia Gazette dan Malaysiakini, baru-baru ini.

Artikel bertajuk “Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy” disiarkan portal Malaysia Gazette manakala artikel Malaysiakini bertajuk “Who am i, peacemaker or terrorist”.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Ramasamy dipanggil untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 hari ini.

“Saya datang dari Pulau Pinang, akan bekerjasama kepada polis,” kata Ramasamy. – 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen