LANGSUNG: Bekas CEO 1MDB diperiksa balas berhubung usaha sama PetroSaudi


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan diperiksa balas untuk hari ke lapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

SAKSI pendakwaan ke sembilan, bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kembali mengambil tempat dalam perbicaraan Najib Razak yang memasuki hari ke 25 hari ini.

Shahrol akan diperiksa balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah untuk hari ke lapan perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Khamis lalu, Shahrol memberi keterangan bahawa Najib merupakan “maharaja” 1MDB, kerana mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan dalam syarikat pelaburan negara itu.

Shahrol merujuk kepada Artikel 117 memorandum dan artikel persatuan, yang memberi perdana menteri “kuasa mutlak” dalam entiti itu.

Najib memiliki kuasa untuk melantik ahli lembaga pengarah, membubarkan lembaga pengarah, melantik atau memecat pengurusan kanan dan menentukan dasar dan pelaburan sejajar dengan kepentingan negara.

Tertuduh yang berusia 66 tahun itu, dibicarakan atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.

Pihak pendakwaan menuduh Najib berkomplot dengan ahli perniagaan yang kini dalam pelarian Low Taek Jho untuk menipu syarikat pelaburan negara itu.

Shahrol turut memberi keterangan bahawa Low yang mencadangkan Artikel 117 dimasukkan ke dalam memorandum dan artikel persatuan syarikat itu.

Pindaan itu memberi “kuasa mutlak” kepada perdana menteri dan mengatasi Perkara 9 (a), yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan. Tambah Shahrol, Wong & Partners telah dirujuk untuk pindaan itu, dengan Brian Chia bertindak sebagai peguam utama.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – 21 Oktober, 2019.

The Malaysian Insight membawakan secara langsung perbicaraan hari ini:

11.41am: Perbicaraan bersambung esok.

11.39am: Perbicaraan ditangguhkan hari ini. Esok peguam akan membuat penyerahan kepada Hakim Mohd Nazlan Ghazali untuk kes SRC International.

11.35am: Shafee menjelaskan beliau ada sijil perubatan, dan meminta perbicaraan ditangguhkan untuk pemeriksaan mata.

Sequerah bertanya Shafee sama ada beliau boleh sambung perbicaraan pagi esok.

11.34am: Shafee hentikan pemeriksaan balas untuk bercakap dengan Sequerah.

11.16am: Shafee membuat pemerhatian bahawa mesyuarat ahli lembaga pengarah sentiasa cukup korum.

Shahrol bersetuju.

10.58am: Shahrol berkata beliau tidak digalakkan untuk meneliti isu-isu lain selain apa yang diberikan kepadanya oleh Low.

Shafee: Selain bertanya Najib, kamu tidak pernah tanya orang lain?

Shahrol: Tidak.

10.55am: Shahrol berkata, pada satu program CSR, beliau bertanya Najib sama ada beliau boleh bercakap dengan orang PSU untuk kembalikan wang mereka, Najib memintanya berbincang dengan Low.

Shahrol berkata beliau tidak digalakkan untuk tahu perkara di luar bidangnya.

10.52am: Shahrol berkata Low memberitahunya terdapat tambahan kuota haji kepada rakyat Malaysia kerana usaha sama ini.

Shafee: Pernahkah kamu bertanya Low untuk mendapatkan gambaran sebenar?

Shahrol: Tidak.

Shafee: Adakah Najib beritahu kamu?

Shahrol: Tidak.

10.48am: Shahrol: Apabila Low memberitahu saya perkara ini perlu dibuat pada tarikh tertentu, saya mengambilnya dengan baik bahawa ia adalah peranan saya dan 1MDB. 

10.45am: Shahrol akui bahawa beliau sepatutnya mendapatkan salinan perjanjian pinjaman dan bawa ke lembaga pengarah 1MDB.

Shafee: Tidakkah kamu fikir ia lebih berhemat untuk memeriksa dengan peguam?

Shahrol: Itulah sepatutnya tetapi ada tekanan masa yang dikenakan kepada kami. Saya benar-benar percaya bahawa ini adalah kepentingan peribadi kepada Najib. Kami tidak mahu melambatkan transaksi.

10.43am: Shafee bertanya siapa yang akan menerajui usaha sama itu.

Shahrol berkata ia jatuh kepada Low.

Beliau berkata mesej oleh Najib dan Low adalah untuk menyelesaikannya.

Shahrol berkata beliau tidak pernah bertanya Najib mengenai hutang AS$700 juta.

10.40am: Shahrol berkata hutang itu ada kerana aset dibawa masuk, untuk kesediaan usaha sama itu.

Beliau berkata lembaga pengarah tidak menyedari hal ini dan sekiranya mereka tahu, sudah pasti mereka akan bertanya.

Beliau berkata mereka telah melepaskan usahasama menerusi perwakilan dari Low.

10.37am: Sebaik sahaja usaha sama ditandatangani, terdapat hutang sebanyak AS$700 juta. PetroSaudi meminta wang daripada 1MDB sehari selepas usaha sama ditandatangani.

Shahrol berkata PetroSaudi menghantar surat tuntutan hutang kepada 1MDB.

10.29am: Shafee merujuk kepada surat daripada PetroSaudi Ltd kepada 1MDB-PetroSaudi Ltd, sehari selepas usaha sama dimuktamadkan.

9.58am: Shafee memberitahu Shahrol mereka akan tentukan tarikh sebenar bila TIA (Terengganu Investment Authority) menjadi 1MDB.

9.57am: Perbicaraan bermula.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen