Belanjawan alternatif cerminan pembangkang bertanggungjawab


SETELAH 61 tahun memerintah negara, siapa sangka Umno dan Barisan Nasional (BN)  pula akan menyediakan belanjawan alternatif sebagai maklum balas kepada belanjawan negara yang disediakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Gabungan Umno dan PAS menerusi ‘Penyatuan Ummah’ sepatutnya menjadi asas yang kukuh untuk pembangkang merangka dasar alternatif bersama secara inklusif.

Meskipun BN telah membentangkan belanjawan alternatif 2019 bertemakan ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’, malangnya gabungan ini lebih selesa untuk tidak mengeluarkan belanjawan alternatif 2020.

Belanjawan alternatif merupakan satu dokumen bertulis pihak pembangkang bagi menyatakan pendirian dan tawaran dasar ekonomi mereka kepada rakyat.

Peranan pembangkang bukan lantang mengkritik sahaja, tetapi turut menyumbang buah fikiran untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat dan negara.

Secara mudahnya, belanjawan alternatif menjadi cerminan gabungan pembangkang bertanggungjawab.

Belanjawan alternatif pembangkang dibincang di Parlimen Sweden dan Australia

Di negara demokrasi matang, pembangkang wajib menyediakan belanjawan alternatif dan dokumen ini akan menjadi rujukan kepada rakyat bagi melihat cadangan alternatif terbaik, selain daripada belanjawan yang disediakan kerajaan.

Ketua pembangkang Australia, Bill Shorten, telah membentangkan belanjawan alternatif 2019 dengan memberi fokus kepada isu pendidikan, kesihatan dan mencadangkan  dasar pemotongan cukai pendapatan kepada golongan pekerja.  Beliau telah menggunakan ruang perbahasan di parlimen untuk membentangkan belanjawan alternatif sebagai satu tawaran kepada rakyat selain belanjawan kerajaan Australia di bawah parti Liberal. 

Amalan belanjawan alternatif di Sweden juga  amat menarik. Parlimen Sweden membenarkan ahli parlimen membahaskan belanjawan alternatif parti pembangkang. Mereka mempunyai kuasa untuk menolak belanjawan kerajaan dan memilih belanjawan alternatif pembangkang.

Perkara ini pernah berlaku apabila belanjawan 2015 yang disediakan oleh menteri kewangan Sweden, Magdalena Andersson, telah ditolak majoriti ahli parlimen dan mereka telah mengundi belanjawan alternatif parti pembangkang Sweden, iaitu The Alliance yang berideologi tengah - kanan. 

Akhirnya, parti pemerintah Sweden terpaksa membuat satu rundingan yang dipanggil  “December Agreement” dengan pembangkang, bagi melaksanakan belanjawan alternatif tersebut secara bersama.

Dari belanjawan alternatif kepada belanjawan negara

Dahulu, BN mendakwa belanjawan alternatif PH tiada hala tuju dan tidak realistik untuk dilaksanakan. BN menyifatkan belanjawan alternatif PH sebagai umpan, gula-gula dan bersifat populis.

Namun, dakwaan ini tidak benar sama sekali. Kebanyakan cadangan dalam belanjawan alternatif PH telah diangkat sebagai dasar utama dalam belanjawan negara pada tahun 2019 dan 2020, seperti dasar penjimatan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam belanjawan 2020, JPM mendapat peruntukan sebanyak RM 7 bilion berbanding RM 15 bilion pada tahun 2017, iaitu semasa pemerintahan BN. Pengurangan ini mencatatkan penurunan sebanyak RM 8 bilion atau 53 peratus. Ini bermaksud, kerajaan PH telah berjaya menjimatkan peruntukan JPM, melebihi sasaran yang dicadangkan dalam belanjawan alternatif 2017, iaitu sebanyak 50 peratus.

Penjimatan peruntukan JPM ini membolehkan kerajaan PH menambah peruntukan kesihatan dan pendidikan yang dilihat meningkat secara perlahan dibawah pemerintahan BN. Contohnya, peruntukan untuk Kementerian Kesihatan meningkat kepada RM 30.6 bilion berbanding RM 25.2 bilion pada tahun 2017. Peningkatan ini mampu meningkatkan akses rakyat  kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan cekap.

Selari dengan komitmen mereka dalam belanjawan alternatif yang lalu, PH juga dapat menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas mengambil alih Putrajaya. Malah, keutamaan dasar belanjawan 2020 untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda dan pemerkasaan pendidikan TVET sebenarnya telah diangkat dalam belanjawan alternatif  PH pada tahun 2017.

Kejayaan PH dalam mengangkat beberapa cadangan dalam belanjawan alternatif sebagai dasar utama negara perlu dijadikan contoh dan amalan terbaik buat pembangkang Umno dan Pas dalam merencana agenda alternatif rakyat. Amalan ini dapat mengembalikan perbahasan idea dan dasar di parlimen.

Rencana masa depan dengan idea, bukan retorik

Pendekatan ‘budget respons’ oleh pembangkang tidak memberi satu gambaran jelas perancangan ekonomi alternatif kepada rakyat. Malah, kritikan berdasarkan retorik politik ini akan membawa kepada perbahasan bersifat emosi dan sentimen.

Rakyat perlukan rencana masa depan dan idea alternatif daripada pembangkang, bukan hujah bermotifkan emosi dan sentimen.

Sejauh mana keupayaan pembangkang terdahulu menyediakan belanjawan alternatif, sebaik itu juga rakyat harapkan ke atas pembangkang Umno dan Pas. Tiada sebab rasional pembangkang Umno dan PAS sukar menyediakan belanjawan alternatif sedangkan mereka mempunyai ramai bekas jemaah menteri yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

Keadaan pembangkang hari ini tidaklah seteruk pembangkang ketika zaman pemerintahan BN. Selain mendapat ruang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas parlimen  (PSC)  dan mengetuai PAC, mereka turut menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM 100,000 untuk menjalankan tugas mereka sebagai ahli parlimen.

Gabungan pembangkang Umno dan PAS kini mempunyai 56 orang ahli parlimen. Sekiranya setiap seorang wakil rakyat menyumbang satu peratus daripada peruntukan RM 100,000, maka pembangkang mempunyai RM 56,000 untuk melakukan kerja-kerja belanjawan alternatif. Ini termasuk dalam mendapat rundingan pakar, percetakan dan menampung kos penyelidikan.

Senario ini sama sekali berbeza dengan belanjawan alternatif PH yang terpaksa menggunakan dana sendiri untuk menampung kos kerja-kerja menyiapkan belanjawan alternatif.

Tiba masanya, pembangkang perlu sedar bahawa belanjawan alternatif ini merupakan ukuran penting melihat keberkesanan mereka dalam ruang demokrasi.

Mereka perlu menumpukan usaha mencabahkan idea untuk menawarkan sesuatu yang baharu kepada rakyat, bukan bergantung kepada prestasi lama yang telah membawa Malaysia ke jalan yang hampir gelap.

Amalan membentangkan belanjawan alternatif ini juga perlu diperluaskan agar rakyat mampu menilai keupayaan pembangkang berdasarkan hujah dan idea mereka.

Ia juga sebagai satu jaminan bertulis kepada rakyat untuk memastikan pembangkang mempunyai dasar yang terbaik sekiranya menjadi sebuah kerajaan.

* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen