Penemuan methamphetamine terapung di laut Myanmar bernilai US$20 juta


Industri dadah bernilai bilion dolar di Myanmar berpusat di kawasan timur Shan, kawasan berbukit, sesuai untuk dijadikan tempat makmal dadah dan tanaman popi. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2019.

BUNGKUSAN dadah methamphetamin kristal yang ditemui terapung oleh nelayan Myanmar yang mengesyakinya sebagai bahan kimia wangian dianggarkan bernilai US$20 juta, kata pihak berkuasa negara yang dipercayai sebagai pengeluar methamphetamine terbesar di dunia.

Dadah yang tidak sengaja ditemui di rantau Ayeyarwady, Myanmar itu dijumpai ketika nelayan melihat sejumlah 23 bungkusan terapung di Laut Andaman pada hari Rabu.

Setiap bungkusan mengandungi beg plastik yang dilabel sebagai teh hijau Cina - bungkusan yang biasa digunakan rangkaian pengedaran dadah Asia Tenggara untuk menyeludup bahan itu ke destinasi jauh termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Penduduk tempatan dilaporkan terkejut dengan bahan kristal tersebut, kata Zaw Win, seorang pegawai tempatan Liga Kebangsaan untuk Parti Demokrasi yang membantu nelayan dan polis ketika ia dijumpai.

Pada mulanya, mereka menganggap ia sebagai bahan kimia semula jadi yang dikenali sebagai potassium alum, yang digunakan secara meluas di Myanmar.

“Jadi mereka membakarnya, dan sebahagian daripada mereka hampir pengsan,” katanya kepada AFP.

Mereka kemudian memaklumkan penemuan itu kepada polis, yang kemudian memulakan pencarian di kawasan pantai dan mendapati dua bungkusan bahan yang sama - menjadikan jumlah keseluruhan penemuan itu kepada 691 kilogram yang bernilai kira-kira US$20.2 juta, kata Zaw Win.

“Sepanjang hayat saya dan seumur hidup ibu bapa saya, kami tidak pernah melihat dadah terapung di lautan sebelum ini,” katanya.

Bungkusan-bungkusan itu dihantar kepada polis daerah Pyapon, yang enggan memberi ulasan mengenainya.

Industri dadah bernilai bilion dolar di Myanmar berpusat di kawasan timur Shan, kawasan berbukit, sesuai untuk dijadikan tempat makmal dadah dan tanaman popi.

Satu kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah mengatakan bahawa kumpulan jenayah di Asia Tenggara mengaut keuntungan lebih daripada US$60 bilion setahun.

Pada bulan Mac, pihak berkuasa Myanmar merampas lebih daripada 1,700 kilogram dadah bernilai hampir US$29 juta, yang dikataka sebagai rampasan dadah terbesar mereka tahun ini.– AFP, 20 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen