SEKURANG-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam insiden berbalas di wilayah Kashmir dekat sempadan India-Pakistan, hari ini.
Ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara berkuasa nuklear itu selepas India membatalkan hak autonomi Kashmir pada 5 Ogos dan mengenakan sekatan perjanalan dan komunikasi bagi mengekang kekecohan.
Pegawai kerajaan dari kedua-dua negara saling menuduh tentang insiden serangan mortar dan tembakan senjata api di kawasan yang dikenali sebagai Garisan Kawalan.
“Dua askar dan seorang penduduk maut manakala tiga lagi cedera dalam serangan Pakistan,” kata jurucakap tentera India Kolonel Rajesh Kalia sambil menambah kejadikan itu berlaku di daerah Kupwara dekat kawasan pergunungan Tangdhar.
Beberapa buah rumah turut rosak dalam serangan itu dan tiga orang awam yang cedera kini dirawat di hospital.
Pegawai kerajaan Pakistan yang mentadbir Kashmir berkata enam orang awam maut dan lapan lagi mangsa cedera dalam serangan tentera India di Muzaffarabad dan Lembah Neelum.
“Serangan mortar mengenai rumah penduduk dan lima orang maut di Muzzafarabad dan enam lagi cedera,” kata timbalan pesuruhjaya Muzzafarabad Badar Munir.
Munir berkata antara yang terkorban merupakan tiga ahli keluarga yang sama.
Pegawai Lembah Neelum Akhtar Ayub berkata seorang penduduk maut dan dua lagi cedera dalam serangan tentera India.
Insiden serangan itu berlaku selepas lima orang maut di kawasan wilayah Kashmir yang ditadbir India pada Rabu lalu, dua hari selepas New Delhi menarik sekatan telekomunikasi di kawasan itu. – AFP, 20 Oktober, 2019.
Komen