Pelarian Rohingya setuju pindah ke pulau Bangladesh


RIBUAN pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh bersetuju untuk berpindah ke sebuah pulau di Teluk Bengal, kata pihak berkuasa.

Pulau berkenaan bagaimanapun dikhuatiri tidak sesuai diduduki kerana mudah dinaiki air dan banjir.

Sebelum ini, Dhaka bercadang mengalihkan 100,000 pelarian ke pulau kecil itu, mengatakan ia akan mengurangkan tekanan di kem-kem yang dipenuhi hampir satu juta pelarian Rohingya.

Sebanyak 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 kerana berdepan tindakan keras tentera, dan kemudian menyertai 200,000 pelarian sedia ada di penempatan sementara di Cox’s Bazar.

Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mahbub Alam, berkata pegawai yang mengawasi penempatan semula akan ditempatkan di pulau Bhashan Char dalam beberapa hari lagi.

“Sekitar 6,000-7,000 pelarian telah menyatakan kesanggupan mereka untuk dipindahkan ke Bhashan Char,” kata Alam kepada AFP dari Cox’s Bazar, sambil menambah bahawa “jumlah itu semakin meningkat”.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan waktu tertentu pelarian akan dipindahkan, tetapi seorang pegawai kanan Tentera Laut yang terlibat membina kemudahan di pulau itu berkata ia mungkin bermula pada Disember, dengan kira-kira 500 pelarian dihantar setiap hari.

Bangladesh telah merancang sejak tahun lepas untuk memindahkan Rohingya ke pulau itu, yang mengambil masa satu jam perjalanan dengan menaiki bot.

Kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa pulau yang muncul sejak kira-kira dua dekad yang lalu, mungkin tidak mampu menahan ribut keras sepanjang musim monsun tahunan.

Sepanjang setengah abad yang lalu, ribut telah membunuh ratusan ribu orang di muara sungai Meghna di mana pulau itu terletak.

Pemimpin Rohingya akan dibawa ke Bhashan Char untuk melihat kemudahan dan keadaan kehidupan di sana, kata Alam.

Kemudahan keselamatan yang dibina di pulau itu termasuk benteng tinggi sembilan kaki (3 meter) di sepanjang perimeternya untuk mengelakkan air pasang surut semasa ribut melanda, dan gudang simpanan catuan makanan.

Nur Hossain, 50, berkata, dia dan keluarganya sepakat untuk berpindah ke Bhashan Char selepas pihak berkuasa menunjukkan rakaman video tempat perlindungan di sana.

“Saya bersetuju untuk pergi, kem di sini (di Leda) sangat penuh dan sesak. Terdapat masalah makanan dan perumahan,” kata pelarian berusia 50 tahun itu kepada AFP.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu masih tidak memberikan ulasan berkenaan perpindahan tersebut, walaupun pihak berkuasa Bangladesh berkata mereka berharap delegasi PBB akan dihantar untuk melawat pulau itu dalam beberapa minggu akan datang – AFP, 20 Oktober, 2019. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen