Tiga terkorban dalam rusuhan di Chile


Kejadian itu adalah korban pertama sepanjang dua hari rusuhan ganas menyaksikan penunjuk perasaan membakar bas, stesen metro dan bertempur dengan polis rusuhan di bandar yang memiliki penduduk kira-kira tujuh juta orang. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2019.

TIGA orang terkorban dalam kebakaran di sebuah pasar raya yang dicerobohi di ibu negara Chile awal pagi Ahad.

Kejadian itu adalah susulan protes terhadap keadaan sosial dan ekonomi merudum yang melanda negara Latin Amerika yang paling stabil tersebut.

Datuk Bandar Santiago Karla Rubilar memberitahu wartawan dua orang terbakar hingga mati di dalam kebakaran dan seorang lagi meninggal dunia di hospital, selepas pasar raya milik Amerika Syarikat, Walmart dicerobohi.

Kejadian itu adalah korban pertama sepanjang dua hari rusuhan ganas menyaksikan penunjuk perasaan membakar bas, stesen metro dan bertempur dengan polis rusuhan di bandar yang memiliki penduduk kira-kira tujuh juta orang.

Protes bermula selepas kenaikan tambang metro, yang diumumkan Presiden Sebastian Pinera Sabtu lalu.

Beliau merayu kepada orang ramai yang berhimpun dengan mengatakan “ada sebab yang baik untuk berbuat demikian,” namun menyeru mereka “untuk berhimpun secara aman” dan mengatakan “tiada siapa yang berhak melakukan keganasan kejam.”

Pertempuran antara penunjuk perasaan meletus di Plaza Italia dan di luar istana presiden.

Para penunjuk perasaan membakar bas di pusat bandar Santiago sehingga menyebabkan perkhidmatan itu digantung.

“Kami sudah letih, sudah cukup, kami bosan dengan mereka yang meremukkan hati kami. Ahli politik hanya melakukan apa yang mereka mahu lakukan, dan tidak mempedulikan realiti di depan mata,” kata Javiera Alarcon, 29, seorang ahli sosiologi yang turut menyertai protes di hadapan istana presiden. – AFP, 20 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen