Tentera Turki terbunuh dalam serangan Kurdi Syria


Turki baru-baru ini, bersetuju untuk menghentikan serangan ke atas Syria selama lima hari untuk membolehkan pasukan Kurdi berundur dari zon selamat di sepanjang sempadan. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2019.

SEORANG askar Turki terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan pasukan Kurdi Syria pada hari Ahad walaupun gencatan senjata sudah diusahakan Amerika Syarikat, kata kementerian pertahanan.

“Salah seorang wira kami jatuh syahid dan seorang lagi cedera selepas tembakan anti kereta kebal dilepaskan oleh ... pengganas semasa perasi tinjauan dan pengawasan” di kawasan sempadan Tal Abyad, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tentera Turki turut membalas tembakan bagi mempertahankan diri, tambah kenyataan itu lagi.

Turki baru-baru ini, bersetuju untuk menghentikan serangan ke atas Syria selama lima hari untuk membolehkan pasukan Kurdi berundur dari zon selamat di sepanjang sempadan.

Bagaimanapun Presiden Recep Tayyip Erdogan memberi amaran bahawa beliau akan “menghancurkan” pasukan Kurdi jika mereka tidak berundur dari zon itu.

Pada hari Sabtu, Turki dan pasukan Kurdi menuduh perjanjian gencatan senjata itu dilanggar antara satu sama lain.

Kementerian Pertahanan Turki berkata bahawa pasukan Kurdi melakukan 20 serangan.

“Walaupun semua perbuatan musuh melanggar perjanjian, konvoi 39 kenderaan, kebanyakannya ambulans, selamat masuk dan keluar dari Ras al-Ain pada hari Sabtu” untuk membantu mengeluarkan mereka yang tercedera, kata kementerian itu.

Dalam temu bual dengan AFP, jurucakap presiden Turki Ibrahim Kalin berkata Ankara mematuhi perjanjian itu dan mendesak AS untuk menggunakan pengaruhnya untuk memastikan penarikan diri pasukan Kurdi di Syria.

“Kami komited dengan perjanjian ini: Dalam tempoh lima hari mereka sepatutnya pergi dan kami telah memberitahu sekutu Amerika kami untuk menggunakan pengaruh dan hubungan mereka untuk memastikan mereka meninggalkan kawasan itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada AFP di Istanbul pada hari Sabtu.

Sementara itu, tokoh utama pasukan Kurdi, komander Pasukan Demokrasi Syria (SDF), Mazloum Abdi, memberitahu AFP bahawa Turki menghalang pengunduran pasukannya dan cuba menyalahkan pasukan Kurdi.

Serangan Turki yang dilancarkan awal bulan ini telah mendorong ratusan ribu orang untuk melarikan diri dalam krisis kemanusiaan terkini perang saudara lapan tahun di Syria. – AFP, 20 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen