23,000 penduduk di Nigeria terjejas akibat banjir 


Limpahan paras sungai membanjiri sebahagian besar bandar di Nigeria.– Gambar EPA, 20 Oktober, 2019.

BANJIR di tenggara Nigeria menyebabkan 23,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak awal Oktober lalu, yang mana ia menyebabkan ancaman krisis kemanusiaan yang baru selepas keganasan kumpulan militan Boko Haram.

Hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras sungai Komadougou Yobe mengalir menerusi wilayah Diffa ke Tasik Chad menyebabkan ia melimpah, sekaigus membanjiri perkampungan dan merosakkan tanaman.

Dua buah kampung berhampiran bandar Diffa “tenggelam sepenuhnya” dan 2,500 penduduk terpaksa dipindahkan, menurut radio kebangsaan, Voice of The Sahel. 

Kira-kira 400 keluarga terpaksa berlindung di sebuah gimnasium di bandar itu, tambahnya.

“Kami telah berusaha untuk mengurangkan peningkatan paras air sejak beberapa hari lalu, namun ia tidak berkesan, kata penanam padi, Amadou Issa kepada AFP. 

“Beg pasir yang digunakan untuk menyekat saliran air tenggelam sepenuhnya.”

Cuaca ekstrem adalah perkara biasa di Nigeria, yang merupakan salah sebuah negara termiskin dunia.

Antara Jun dan September, 57 orang terbunuh dan lebih 130,000 terjejas akibat banjir, menurut data kerajaan. 

Bandaraya Niamey yang paling teruk terjejas pada September yang mana paras Sungai Niger—yang merupakan sungai ketiga terbesar di Afrika—meningkat pada paras yang tidak pernah disaksikan sejak lebih 50 tahun lalu membanjiri sebahagian besar bandaraya itu.

Tahun lalu, bencana kemarau dan banjir membawa kepada kekurangan bekalan makanan, ditambah dengan keganasan kumpulan militan menyebabkan lebih 10% populasi memerlukan bantuan kemanusiaan. – AFP, 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen