Wilayah Kurdistan tunda pilihan raya


PERSEDIAAN mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen yang dijadual pada 1 November depan ditangguhkan, akibat krisis semasa yang melanda wilayah Kirkuk, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas dan Pungutan Suara (IHERC) wilayah pada Rabu, keputusan diambil ekoran keganasan di Kirkuk baru-baru ini dan juga di wilayah lain yang dipertikaikan.

“Akibat perkembangan di Kirkuk dan wilayah lain, menyebabkan nama calon masih tidak dapat diberikan,” jelas kenyataan IHERC.

Penangguhan pilihan raya akan diteruskan sehingga Parlimen Wilayah Kurdistan Iraq (KRG) membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.

Sebelum ini, IHERC menetapkan 1 November sebagai tarikh mengadakan serentak pilihan raya Parlimen dan presiden.

Keputusan mengadakan pilihan raya termasuk di wilayah yang menjadi pertikaian, diambil selepas pungutan suara kemerdekaan diadakan bulan lepas yang mengundang ketegangan antara Baghdad dan KRG.

Pada Isnin, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi merangkap ketua pasukan komando Iraq, mengarahkan pihak tentera masuk ke wilayah Kirkuk yang kaya dengan minyak, untuk menguasai semula kawasan berkenaan.

Pertelingkahan antara Baghdad dengan KRG telah berlarutan sejak bertahun lamanya. – Bernama, 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen