PRESIDEN Indonesia Joko Widodo akan memulakan penggal kedua sebagai Presiden Indonesia secara rasmi hari ini ketika kebimbangan berlaku selepas seorang menteri kanan cedera parah ditikam baru-baru ini.
Lebih 30,000 anggota keselamatan ditempatkan di ibu negara pada majlis angkat sumpah hari ini yang turut dihadiri pemimpin asing termasuk Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison.
Selain Widodo yang turut dikenali sebagai Jokowi, 58, turut mengangkat sumpah dalam majlis berlangsung hari ini adalah Naib Presiden Ma’ruf Amin, 76.
Jokowi yang popular dalam kalangan rakyat Indonesia merupakan bekas ahli perniagaan sebelum dilantik menjadi presiden pada 2014.
Beliau terkenal sebagai penggemas muzik heavy metal dan bukan dari latar belakang politik dan elit tentera dianggap sebagai jelmaan “Barack Obama” bagi memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.
Namun kepimpinan Jokowi menerima pelbagai kritikan dan memaksanya berdepan demonstrasi anti kerajaan serta pembakaran hutan yang mengakibatkan jerebu sehingga mencetuskan ketegangan hubungan dengan negara jiran.
Isu kemelesetan ekonomi dan keganasan di Papua juga menyebabkan kerajaan pimpinan Jokowi menerima kritikan rakyat Indonesia.
Terdahulu pihak berkuasa mengumumkan larangan mengadakan perhimpunan besar-besaran berikutan kebimbangan ia bakal digunakan oleh pihak militan untuk melancarkan serangan di bandar raya berkenaan. – AFP, 20 Oktober, 2019.
Komen