Nigeria selamatkan 147 pelajar ‘diseksa’ di sekolah asrama Islam


Bulan lepas polis menyelamatkan lebih 300 pelajar lelaki yang didera dari sekolah berasrama serupa di kawasan kejiranan sama. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2019.

POLIS di utara Nigeria menyelamatkan 147 pelajar yang didera di sebuah sekolah asrama Islam, kata pegawai tempatan kepada AFP.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Wanita Kaduna Hafsat Baba berkata, pegawai bersenjata menemui pelajar berkenaan ketika menyerbu sebuah sekolah di daerah Rigasa Kaduna.

“Semua penghuni ditemui dalam keadaan berantai dan mereka mendakwa telah dipukul.

“Terdapat 22 wanita dalam kalangan mereka dan sebahagian mengadu diseksa secara seksual,” katanya.

Dua warga Cameroon dan dua dari Niger antara yang berjaya diselamatkan.

Terdapat juga empat kanak-kanak di sekolah berkenaan.

Baba berkata, kebanyakan tahanan dibawa tinggal di situ selepas melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuk mencuri dan ketagihan dadah.

“Ada di antara mereka mempunyai masalah psikologi dan mental tidak stabil,” katanya.

Bulan lepas polis menyelamatkan lebih 300 pelajar lelaki dari sekolah berasrama serupa di kawasan kejiranan sama.

Mereka juga mendakwa diseksa dan didera secara seksual.

Ia membawa kepada serbuan polis di dua sekolah berasrama lain di negeri Katsina minggu ini di mana pihak berkuasa berkata mereka menyelamatkan lebih 400 pelajar lelaki.

Kadar penggunaan dadah yang tinggi dan kekurangan pusat pemulihan di utara Nigeria menyebabkan beberapa ibu bapa mendaftarkan anak mereka di sekolah Islam reformasi formal.

Baba berjanji mana-mana sekolah yang melakukan penganiayaan kepada penghuninya akan ditutup. – AFP, 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen