Letupan masjid di Afghanistan, penduduk cari mangsa terperangkap


Kejadian letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Afghanistan semalam menyebabkan 70 orang termasuk kanak-kanak maut. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2019.

PENDUDUK mula giat mencari mayat ahli keluarga mereka yang terperangkap dalam runtuhan masjid di Afghanistan selepas meletup ketika solat Jumaat semalam.

Kejadian itu menyebabkan 70 orang termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak maut.

Serangan kali kedua di negara itu tahun ini berlaku di daerah Haska Mina di wilayah Nangarhar timur dan juga menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang tercedera.

Jurucakap gabenor wilayah Attaullah Khogyani memberitahu AFP, jumlah kematian telah mencapai angka 70 orang.

“Kami telah menghantar bantuan ke daerah terlibat termasuk makanan dan barangan lain.

“Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Saksi berkata bumbung masjid itu runtuh selepas letupan berlaku.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Nangarhar Asif Shinwari berkata, sekurang-kurangnya 27 mangsa merupakan murid sekolah.

“16 murid sekolah juga cedera. Kesemua mereka biasanya belajar di masjid selepas solat,” katanya.

Menurut penduduk setempat, kira-kira 350 jemaah berada di dalam masjid ketika letupan berlaku.

“Kami masih mencari mayat yang hilang. Kebanyakan yang terbunuh ialah kanak-kanak lelaki berusia bawah 18 tahun,” kata penduduk Omar Ghorzang.

Setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab ke atas serangan maut itu namun dilaporkan militan Taliban dan Daesh aktif di wilayah tersebut. – AFP, 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen