Aktivis demokrasi Hong Kong cedera dalam serangan pisau


Seorang aktivis cedera selepas diserang menggunakan pisau dekat Lennon Wall berhampiran stesen Tai Po semalam. – Gambar South China Morning Post, 20 Oktober, 2019.

SEORANG aktivis yang menyerahkan risalah untuk protes pro-demokrasi Hong Kong diserang oleh penyerang bersenjatakan pisau semalam, beberapa hari selepas seorang aktivis terkemuka dibiarkan tercedera dalam satu serangan jalanan lain.

Lelaki berusia 19 tahun itu berpakaian dan bertopeng hitam cedera selepas diserang dekat Lennon Wall berhampiran stesen Tai Po semalam.

Imej media tempatan menunjukkan lelaki itu cedera teruk apabila organ dalamannya kelihatan selepas perutnya ditusuk dengan pisau.

Rakaman yang dipaparkan di media sosial menunjukkan seorang suspek memegang pisau dan menjerit “Hong Kong adalah sebahagian dari China…(Kamu) merosakkan Hong Kong”.

Polis mengesahkan seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditahan dan mangsa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.

“Lelaki itu tiba-tiba bergegas ke arah kawan saya dan memotong lehernya. Kawan saya kemudian melarikan diri.

“Selepas dia jatuh, dia ditikam di perut dengan pisau,” kata rakan mangsa kepada media di tempat kejadian.

Pada Rabu lalu, aktivis hak asasi manusia terkenal Jimmy Sham ditemui cedera di Mong Kok.

Sham yang juga ketua Barisan Hak Asasi Manusia Awam (CHRF) dirtemui berlumuran darah dan terbaring di atas jalan raya Mong Kok.

Aktivis itu dilaporkan diserang lima lelaki dengan pisau dan tukul. – AFP, 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen