Sabah tolak tawaran AirAsia beli Terminal 2 KKIA


Jason Santos

Shafie berkata Sabah juga perlu memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan bagi mengimbangi peningkatan ketibaan pelancong ke negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Oktober, 2019.

KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menolak tawaran AirAsia Group untuk membeli Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Tetapi beliau mempertimbangkan pilihan lain untuk memenuhi keperluan syarikat tambang murah itu.

Kata Shafie kerajaan negeri masih komited untuk membantu pelan syarikat penerbangan berkembang ketika negara memerlukan persaingan dalam industri penerbangan bagi mengembangkan pelancongan tempatan.

“Kita mahu syarikat penerbangan bersaing dan kita akan memenuhi keperluan itu.

“AirAsia sudah mengemukakan beberapa usul dan kita akan menelitinya,” katanya kepada media selepas melancarkan hari Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti) di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam Shafie mengadakan pertemuan ringkas dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Fernandes bagi membincangkan pelan syarikat itu mengembangkan perniagaannya di Sabah.

Shafie berkata Fernandes menawarkan untuk membeli Terminal 2 yang dikurangkan operasinya pada 2015 susulan pertukaran lokasi operasi semua penerbangan ke Terminal Satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Saya memberitahunya supaya tidak mengambil (Terminal 2) dalam salah satu usulnya. Biar saya teliti.

“Fernandes berkata beliau akan membawa jumlah pelancong yang besar dari Australia dan New Zealand pada tahun depan.

“Sebagai kerajaan,  kita perlu melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan ini untuk Malaysia,” katanya.

Fernandes juga memberitahu media bahawa AirAsia akan membawa 15 juta pelancong ke Sabah dengan potensi pendapatan RM15 bilion kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Shafie berkata Sabah juga perlu memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan bagi mengimbangi peningkatan ketibaan pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata Sabah mungkin perlu memulakan promosi pusat kajian Imbak Canyon di mana wujudnya bunga orkid berukuran 20 kaki dan juga pokok tropika tertinggi di dunia, Shorea Fatiguena.

Malaysia akan mempromosikan pelancongan pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. – 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen