PRK bawa harapan baharu pada penternak ikan, nelayan Kukup


Mohd Farhan Darwis

Nelayan Pulau Kukup berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memberikan penyelesaian jangka panjang bagi masalah kematian ikan yang dihadapi setiap kali berlakunya peralihan monsun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2019.

PENTERNAK ikan dan nelayan di Kukup berharap kempen PRK Tanjung Piai yang bakal berlangsung bulan depan akan memberi peluang untuk mengetengahkan masalah dihadapi mereka

Mereka berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memberikan penyelesaian jangka panjang bagi masalah kematian ikan yang dihadapi setiap kali berlakunya peralihan monsun.

Setiausaha Persatuan Penternak Ikan Kukup Ee Long Chin, 37, berkata, ahlinya terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit setiap kali musibah itu berlaku.

Sewaktu perubahan musim pada 1 dan 8 Oktober lepas sahaja, 44 daripada 76 penternak ikan sangkar merekodkan kerugian lebih RM5 juta, katanya.

Sejumlah kira-kira 200 tan ikan ternakan mereka mati dalam kejadian itu, katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di jeti perikanan Kukup Laut.

“Sebelum ini tiga bulan musim panas tidak ada hujan, tetapi bila tiba-tiba hujan lebat, air dari sungai masuk ke laut, ikan mati.

“Jabatan Perikanan kata daripada sampel air yang diambil menunjukkan tahap oksigen rendah yang menyebabkan ikan mati,”

Ee mengatakan nelayan Pulau Kukup memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi masalah yang dihadapi mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2019.

Ee tidak menolak kemungkinan terdapat kaitan antara aktiviti pekebun kecil sawit yang menggunakan baja dan racun rumpai mengakibatkan musibah itu menimpa mereka.

“Mungkin kebun ada guna racun atau baja, jadi bila hari berlaku hujan lebat, ia masuk ke sistem saliran dan mengalir ke laut yang menyebabkan paras oksigen rendah dan ikan mati,” kata Ee.

Seorang lagi penternak ikan sangkar, Tan Jie Sheng berkata beliau menanggung kerugian kira-kira RM60,000 apabila dua tan ternakan ikannya mati dalam insiden itu.

“Pada malam kejadian itu, kami ramai-ramai cuba menolak aliran air sungai daripada melalui kawasan ternakan menggunakan kipas bot, tapi sia-sia.

“Tiap-tiap tahun pun berlaku tetapi kali ini paling teruk,” kata Tan, 31, yang menguruskan sangkar ternakan ikan bapanya.

Menurut Ee, Timbalan Menteri Pertanian Sim Tze Zin dalam lawatan ke Kukup pada 17 Oktober lalu berjanji akan menyelesaikan isu tersebut.

Namun, timbalan menteri berkata kerajaan hanya akan dapat memberi bantuan daripada peruntukan kena tunggu Bajet 2020, kata penternak ini.

“Antara bantuan awal yang dijanjikan adalah benih dan makanan ikan, manakala bantuan jangka panjang adalah bentuk sangkar yang menggunakan teknologi Norway,” kata Ee, lagi.

Di kawasan perairan Kukup, dianggarkan terdapat 76 sangkar ternakan ikan dan setiap sangkar mampu memuatkan 100 kolam ternakan ikan.

Kerugian terpaksa ditanggung nelayan apabila ikan mati dalam jumlah besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2019.

Dengan kemampuan, penternak ikan sangkar di Kukup sepatutnya dapat mengeksport 3,000 tan ikan setahun ke pasaran utama di sekitar Johor Bahru dan Singapura, kata pengusaha ini.

Namun mereka sudah banyak kali mengalami kerugian besar akibat kematian ikan dan sudah bosan untuk membuat aduan kerana tiada tindakan kerajaan.

Seorang pemilik sangkar ikan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siew, 50, beliau terpaksa menyelesaikannya sendiri kerana suara dan aduannya seakan-akan menyiram air ke daun keladi.

“Sudah penat buat aduan, lebih 10 kali buat aduan, nanti wakil kerajaan datang, ambil sampel, ambil gambar, tetapi tidak ada apa pun yang berlaku.

“Nanti bila berlaku lagi ikan mati, ulang semula proses yang sama, pun tidak menampakkan sebarang hasil,” kata pemilik satu sangkar ternakan itu.

Selain penternak ikan sangkar, ramai di kalangan penduduk Dun Kukup terdiri daripada nelayan pantai, yang kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan rendah.

Seorang daripadanya Hamidun Abdul Ghani, 53, yang hanya bergantung harap kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara lapan ahli keluarganya.

Masalah yang dihadapi nelayan sering diadukan kepada kerajaan, tetapi tindakan berkesan tidak diambil.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2019.

Belau yang menjadi nelayan sejak 35 tahun lalu turut berharap PRK kali ini memberikan peluang kepadanya bagi mendapat bantuan untuk meringankan kesukaran hidup.

“Saya cakap terus terang, saya kecewa dengan kerajaan sekarang, wang bantuan sara hidup kita dipotong daripada RM300 jadi RM200. Harapnya adalah sedikit peruntukan untuk kami dalam PRK ini.

“Kemudian dalam Bajet 2020 baru-baru ini kata nak naikkan, tapi RM50 sahaja. Saya nak cari RM50 sehari dengan menjual hasil tangkapan pun susah, potong wang bantuan sara hidup, lagilah hidup jadi susah,” katanya.

Dengan keadaan cuaca tidak menentu waktu ini, beliau berkata sukar baginya untuk mendapatkan RM500 sebulan dengan menjual hasil tangkapan udang.

Kalangan peniaga juga mengeluh kerana pendapat merosot teruk apabila jeti yang menjadi perhubungan utama ke Indonesia di pekan kecil tersebut ditutup sejak hampir dua bulan lalu.

Seorang pemilik kedai menjual pakaian yang enggan dikenali berkata, mereka tiada pelanggan kerana tiada lagi penumpang melalui jeti terseut.

“Sekarang teruk, jeti tutup, orang nak pergi Indonesia tidak naik jeti di sini, mereka naik dari jeti Puteri Harbour, pendapatan kami terjejas hingga 90%, tengok, mana ada orang,” kata wanita tersebut.

Sejak penutupan itu, peniaga ini hanya dapat berharap kepada pelancong Singapura yang berkunjung ke Kukup untuk melawat Pulau Kukup.

Seorang lagi peniaga, Amy, yang menjual ayam goreng di tepi jalan berhadapan jeti juga terpaksa menghentikan perniagaannya sehingga jeti kembali beroperasi.

“Sebelum ini 7, 8 ekor ayam sehari boleh jual, tapi sebab jeti tutup nak jual 3 ekor pun susah, tidak pulang modal, jadi saya berhenti sekejap, sampai jeti buka semula,” katanya.

Seorang pemilik chalet dan rumah tumpangan, Lim, bagaimanapun bernasib baik kerana penutupan itu tidak menjejaskannya namun turut bersimpati dengan nasib rakan perniagaannya yang lain.

“Kita harap kerajaan ada bagi penyelesaian jangka masa panjang untuk sumber pendapatan penduduk di Kukup,” kata Lim, 50.

Namun seorang pemimpin masyarakat yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Sang memberi jaminan jeti itu hanya ditutup sementara untuk melantik operator baharu.

“Jeti tutup sekejap sahaja, tidak silap saya dalam dua atau tiga minggu lagi jeti akan buka semula,” katanya.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 pengundi berdaftar dengan 26,565 pengundi dalam Dun Kukup, manakala 26,421 pengundi lagi di Dun Pekan Nenas. – 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen