Kos tinggi punca pelabur enggan berniaga di Sabah, kata menteri


Jason Santos

Kerenah birokrasi, dan harga tanah antara punca pelabur enggan melabur di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Oktober, 2019.

RAMAI pelabur enggan melabur di Sabah kerana kos tinggi pelaburan di negeri ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Beliau berkata selepas menjadi menteri selama setahun setengah beliau mengenal pasti punca tersebut dan menyarankan supaya Sabah merangka semula insentif-insentif untuk pelabur.

“Terdapat banyak pelabur yang mahu ke sini (Sabah), tetapi kita harap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan pertimbangkan strategi baharu untuk menarik mereka.

“Pertama, tanah adalah isu kerana tanah terlalu mahal di Sabah. Kedua, tarif elektrik sekarang terlalu tinggi. Kita perlu mencari garis asas.

“Kita juga harus memudahkan cara menjalankan perniagaan supaya pelabur yang datang ke sini tidak perlu menghadapi kerenah birokrasi,” katanya kepada pemberita di Penampang hari ini. 

Ahli Parlimen Penampang ditemui di Malaysia Autoshow 2019 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Penampang, kira-kira 13km dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sebagai contoh, beliau mengatakan bahawa matlamat untuk menjadikan Taman Perindustrian Kota Kinabalu sebagai taman perindustrian utama belum mencapai matlamatnya walaupun selepas 30 tahun berikutan kos tanah yang lebih tinggi.

Menurutnya Leiking, syarikat asing lebih suka kepada model perniagaan ‘asset light’ - yang kurang membelanjakan duit untuk aset - ketika menceburkan diri ke dalam pelaburan luar negara dan oleh itu mereka tidak akan membelanjakan wang ke atas aset kerana ia akan menjejaskan aliran modal mereka.

China, katanya, telah menjadi industri yang begitu pesat kerana ia memulakan inisiatifnya dengan memberikan tanah percuma.

Leiking berkata beliau tidak mencadangkan Sabah memberi tanah percuma tetapi memberi insentif, termasuk memberi kawalan tiga tahun ke atas tanah kepada pelabur.

Jika mereka tidak membina apa-apa, mereka mesti mengembalikan tanah itu kepada kerajaan negeri, tambahnya. – 19 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen