Venezuela umum 'kemenangan' rebut kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB


Pemerintahan Presiden Nicolas Maduro menghadapi krisis politik dan dituduh menyebabkan ribuan kematian ketika rusuhan membantah pentadbirannya. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2019.

VENEZUELA mengumumkan “kemenangan” pada hari Khamis berhubung “pencapaian penting” kerana berjaya merebut kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun menghadapi kritikan.

Menteri Luar Jorge Arreaza berkata negara itu akan “meraikan kemenangan baru untuk diplomasi keamanan Bolivaria,” yang merujuk kepada rejim Presiden Sosialis Nicolas Maduro.

Peguam Negara Tarek William Saab menggambarkannya sebagai “pencapaian penting” ketika mengumumkan pembebasan 24 tokoh pembangkang yang dipenjarakan.

Venezuela adalah salah satu daripada 14 ahli baru yang dipilih untuk badan yang mempunyai 47 anggota untuk tempoh tiga tahun itu.

Negara itu diberikan salah satu daripada dua kerusi Latin Amerika pada hari Khamis.

Brazil pula mendapat sebuah kerusi selepas memenangi 153 undi, manakala Costa Rica mendapat 96 undi sekaligus gagal menghalang Venezuela yang mendapat 105 undi daripada dipilih.

Majlis PBB tersebut berfungsi untuk mempromosikan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Arreaza menggambarkannya sebagai “kemenangan bersejarah” yang dicapai walaupun kempen “ganas” dan “kejam” dilakukan Amerika Syarikat untuk menghalang kemasukan Venezuela.

“Kami benar-benar bangga bahawa Venezuela jadi anggota dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB ini, sekali lagi, untuk kali ketiga,” tambah Arreaza.

Saab berkata Venezuela adalah “suara penting” yang akan menggalakkan keamanan.

Pada bulan Julai, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, mendakwa terdapat 7,000 pembunuhan di Venezuela semasa rusuhan awam yang tercetus akibat demonstrasi terhadap pemerintahan Maduro.

Bachelet, bekas presiden Chile, berkata kebanyakan pembunuhan dilakukan oleh perkhidmatan keselamatan.

Maduro bagaimanapun menuduh Bachelet “berbohong.”

Lima tahun menyaksikan kemelesetan dan krisis ekonomi, Venezuela masih berdepan krisis politik sejak Januari apabila Speaker Parlimen Venezuela Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden dan menerima sokongan lebih daripada 50 buah negara. – AFP, 19 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen