Muafakat Nasional hasil usaha 21 tahun, kata Zahid


SM Amin

Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bermula pada tahun 1998 dalam satu program di pusat rawatan Islam Darul Syifa yang dimiliki oleh bekas mursyidul am PAS ketika itu, Haron Din. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

USAHA menjayakan Muafakat Nasional dengan PAS yang dimeterai pada 14 September lalu telah dijalankan sejak 21 tahun lalu, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau bernasib baik kerana sudah lama mengenali Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk  menjayakan usaha itu.

“Saya ambil masa 21 tahun untuk wujudkan 14 September. Bukan mudah untuk mereka menerima kita ketika itu. Saya beruntung sebab (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang kenal lama,” katanya.

Katanya ia bermula pada tahun 1998 dalam satu program di pusat rawatan Islam Darul Syifa yang dimiliki oleh bekas mursyidul am PAS ketika itu, Haron Din.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan bantuannya kepada kepada sekumpulan pemimpin PAS yang berdepan masalah semasa mengerjakan haji pada satu ketika.

Katanya, pemimpin PAS berkenaan menghadapi masalah perjalanan dan terpaksa menginap di sebuah hotel di Arab Saudi.

“Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) perdana menteri ketika itu. Beliau memohon dengan kedutaan kita tetapi gagal,” katanya.

Tambahnya lagi perkara itu kemudiannya dapat diselesaikan dengan bantuan seorang pemandu Tabung Haji.

Jelas Zahid, beliau membangkitkan semula peristiwa itu sebagai contoh kepada ahli Umno supaya sentiasa ikhlas dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk individu tanpa kuasa dan jawatan.

Balasannya akan diperolehi kemudian hari, katanya yang seterusnya mengaitkan dengan persetujuan PAS untuk tidak bertanding di PRK Sungai Kandis.

Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional, menandakan permulaan era baharu politik pasca PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

Langkah itu memberi laluan kepada Umno untuk menentang PH dalam pertandingan satu lawan satu pada Ogos tahun lalu dan kerjasama seterusnya dengan PAS.

“Jangan ingat kita buat sesuatu sekarang balasannya esok. Semasa PRK Sungai Kandis, PAS ragu dengan kita. Saya pergi ke Rusila, Marang untuk berjumpa dengan presiden PAS.

“Untuk apa? Supaya Sungai Kandis kita dapat bertanding,” katanya yang menjelaskan Umno dapat bertanding di kerusi tersebut dengan meletakkan calonnya.

Kerjasama itu berterusan dan PAS semakin berubah sikap apabila Umno memberi peluang kepada PAS untuk bertanding dalam PRK seterusnya, di DUN Seri Setia.

Oleh itu ia menunjukkan kedua-dua parti dapat mencapai kemenangan sekiranya dapat bekerjasama dengan musuh tradisi parti tersebut, katanya.

“Jentera kita bergerak seolah-olah jentera kita bertanding. Di Cameron Highlands mereka terus bekerjasama dengan kita.

“Bila kita selesaikan dengan musuh politik lama kita PAS. kita boleh capai kemenangan,” katanya dalam ucapan di Konvensyen Umno Selangor hari ini.

Zahid Hamidi mendedahkan PAS ragu dengan Umno semasa PRK Sungai Kandis dan beliau pergi ke Rusila, Marang untuk berjumpa dengan presiden PAS bagi mendapatkan persetujuan meletak calon BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

Ahmad Zahid seterusnya mengingatkan ahli Umno supaya menggunakan sebaiknya Muafakat Nasional untuk mendekati hati rakyat tanpa perlu mempertikaikan keikhlasan pihak lain.

Katanya, Konvensyen Umno Selangor itu juga harus dijadikan pentas untuk memikirkan gerak kerja yang strategik untuk menawan kembali Selangor selepas 11 tahun menjadi pembangkang.

“Biar pun sukar tetapi tidak mustahil untuk dimenangi. Begitu juga untuk Parlimen. Kita hanya ada satu kerusi (di Selangor) tetapi tidak mustahil untuk jumlah kerusi itu boleh bertambah seperti dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya

Tambah beliau, Umno perlu memberi harapan dan tawaran baru kepada rakyat berhubung kerajaan yang akan terbentuk akan datang.

Namun Umno perlu menyedari mereka perlu bergerak dengan dana terhad, tidak seperti sebelumnya.

“Bila kita tak ada duit buat cara tak ada duit. Cukup 11 tahun kita menderita…Insya Allah PRU15, Selangor kita ambil semula,” katanya. – 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen