Protes bertukar ganas, Presiden Chile isytihar darurat 


PRESIDEN Chile mengisytiharkan darurat di Santiago pada malam Jumaat dan memberikan kuasa kepada tentera untuk menjaga keamanan selepas protes kenaikan harga tiket metro bertukar ganas.

“Saya mengisytiharkan keadaan darurat dan saya melantik Ketua Jeneral Javier Iturriaga del Campo sebagai ketua pertahanan negara, mengikut peruntukan undang-undang darurat negara kita,” kata Presiden Sebastian Pinera.

Sepanjang hari Jumaat, peserta protes bertempur dengan polis rusuhan di beberapa bahagian bandar raya dan kemudahan aliran ringan bawah tanah ditutup selepas beberapa insiden serangan ke atas stesen dilaporkan.

Pertembungan ganas itu meningkat sehingga tengah malam menyaksikan bangunan syarikat ENEL dan cawangan Banco Chile, di pusat bandar dibakar dan beberapa stesen metro dibaling bom molotov koktel.

Rusuhan itu bermula sebagai protes terhadap kenaikan harga tiket metro, yang meningkat dari 800 kepada 830 peso (US$1.17) untuk perjalanan waktu puncak, selepas kenaikan sebanyak 20 peso pada bulan Januari lalu.

Serangan di stesen metro memaksa penutupan keseluruhan sistem aliran ringan bawah tanah, yang merupakan pengangkutan awam utama di ibu negara yang sesak dan tercemar, dengan angkutan sebanyak tiga juta penumpang sehari.

“Seluruh rangkaian ditutup disebabkan rusuhan dan kemusnahan yang menghalang keadaan selamat bagi penumpang dan pekerja,” kata pengendali metro di Twitter, selepas serangan terhadap hampir kesemua 164 stesen di mana pintu pagar dan kaunter tiket dimusnahkan.

Santiago Metro, yang merangkumi perjalanan sejauh 140 kilometer adalah rangkaian terbesar dan paling moden di Amerika Selatan. Ia dijangka akan ditutup hujung minggu ini dan bakal dibuka semula secara berperingkat minggu depan. – AFP, 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen