TAHANAN bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Yazid Sufaat belum pasti akan dibebaskan daripada penjara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Katanya, perkara itu bergantung kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang akan melihat sama ada tahanan yang dikaitkan dengan pengganas Al-Qaeda itu boleh dibebaskan.
Muhyiddin berkata, ini kerana keputusan akhir sama ada Yazid akan dibebaskan atau tidak akan dilakukan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan.
“Tempoh masa tahanan dua tahun di bawah Pota mungkin akan tamat tak lama lagi. Apa pun, ada prosedur sebelum keputusan dibuat.
“Lembaga itu akan meneliti keadaan berlaku sepanjang tempoh tahanan, bagaimana kelakuan dia, sama ada dia sudah berubah atau tidak. Lepas itu baru buat keputusan,” kata Muhyiddin.
Kementerian hanya akan membuat keputusan berkenaan selepas lembaga tersebut membuat keputusan.
“Saya tidak boleh buat keputusan selagi lembaga belum bersidang, lembaga akan bersidang tidak berapa lama lagi sebelum tempoh tamat,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin berkat demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rela bersama pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian, hari ini.
Yazid dipenjara mengikut Pota pada 2015. Ia merupakan hukuman penjara kali ketiga yang dijalaninya sejak 17 tahun lalu.
Akhbar The Straits Times melaporkan Yazid mungkin dibebaskan semula dari penjara pada bulan depan apabila tempoh tahannya berakhir.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata, ia bergantung kepada keputusan lembaga. – 19 Oktober, 2019.
Komen