Pakatan sudah senarai pendek calon PRK Tanjung Piai, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Senarai pendek calon untuk PRK Tanjung Piai Pakatan Harapan sudah siap, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2019.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan Pakatan Harapan (PH) sudah menyenarai pendek calon mereka bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada 16 November depan.

Muhyiddin berkata, kriteria calon gabungan parti pemerintah itu diteliti bukan sahaja daripada aspek usia, tetapi juga ketokohan, pengalaman, dan mempunyai latar belakang yang baik.

“Calon hampir nak di senarai pendek, sebelum akhir bulan sebelum hari penamaan calon kita akan umum tetapi tidak lewat daripada hujung bulan.

“Kita teliti pelbagai aspek, orang cari calon yang berpengalaman, ketokohan, latar belakang baik, tokoh ada pengetahuan… semua ini kita ambil kira, tidak kata faktor muda sahaja. Kita ambil kira mereka yang boleh jalankan tugas sebagai wakil rakyat,” kata Muhyiddin kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis Rela Pontian bersama pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian, hari ini.

Menteri dalam negeri itu juga berkata, hasil culaan dan kajian sikap pengundi yang dijalankan Bersatua berjaya meyakinkan PH bahawa parti Melayu itu akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada jatuh kepada lawan.

“Kita yakin kita mampu mempertahankan kerusi ini. Laporan termasuk culaan kajian sikap mula datang, dalam lawatan saya petang semalam dan pagi ini saya dapat rasa sentimen agak baik.

“Walaupun ada masalah ekonomi, pendapatan, dan kos sara hidup, keyakinan kepada PH memang sedia ada. Trend perkembangan agak positif,” kata Muhyiddin.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PH berkata, culaan berkenaan turut menunjukkan berlaku kecenderungan peningkatan sokongan pengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) kepada PH, walaupun beberapa siri PRK sebelum ini tidak berpihak kepada pemerintah.

“Ada trend kecenderungan untuk pengundi kembali sokong PH. Ada banyak faktor berlaku, keyakinan mungkin meningkat.

“Walaupun dulu ada beberapa PRK, tetapi semangat orang Johor lain, mereka yakin kepada pimpinan negeri dan Pusat, dan bekas wakil rakyat, walaupun mentadbir dalam tempoh singkat, senarai projek yang dilaksanakan banyak sekali,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan 2 November sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari pengundian untuk PRK Parlimen Tanjung Piai.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang, Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid merupakan timbalan Bersatu Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan calon PAS, Nordin Othman.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup. – 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen