MAHKAMAH Kemboja menjatuhkan pertuduhan jenayah merogol seorang pelancong warga Perancis terhadap tiga lelaki, kata polis pada hari Sabtu.
Kejadian rogol itu dipercayai berlaku di kawasan pedalaman pantai Kampot ketika mangsa menaiki kenderaan suspek.
Ketiga-tiga suspek ditangkap pada hari Selasa dan Rabu, beberapa hari selepas wanita berusia 43 tahun itu melaporkan serangan seksual kepada polis pada 12 Oktober, kata Ketua Polis Daerah Kampot, Mao Chanmathurith kepada AFP.
Mao berkata suspek menawarkan tumpangan kereta ketika mangsa dalam perjalanan menuju tempat penginapannya pada pukul 3 pagi sebelum memaksanya masuk ke dalam kenderaan. Suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan sunyi dan merogolnya.
“Mereka didakwa dengan jenayah rogol dan dimasukkan ke dalam tahanan reman sebelum perbicaraan pada Jumaat,” katanya.
Suspek yang terdiri daripada seorang pemandu teksi berusia 36 tahun dan dua orang pekerja pembinaan berusia 19 dan 23, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
Kampot, yang terletak di barat daya Phnom Penh, adalah destinasi popular bagi pelancong asing yang mencari pantai alternatif yang tenang dengan tempat-tempat menarik seperti Siem Reap, dan kuil Angkor Wat.
Bagaimanapun, wilayah pesisir panta itu sejak kebelakangan ini mendapat reputasi buruk berikutan peningkatan pengedaran dadah, menarik pengedar asing dan tempatan ke sana demi memenuhi permintaan pelancong yang rata-rata gemar berparti.
Pada tahun 2013, bandar itu digegarkan dengan penemuan mayat seorang wanita Perancis berusia 25 tahun yang terapung di sebuah sungai.
Seorang warga Belgium didakwa atas dakwaan rogol dan membunuh wanita itu, namun kemudian dibebaskan dengan ikat jamin setahun kemudian kerana kekurangan bukti. – AFP, 19 Oktober, 2019.
Komen