Perancis rasmi loji janakuasa solar terapung pertama


Projek 'O'MEGA1', loji janakuasa solar terapung pertama Perancis terletak di tenggara Piolenc. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2019.

PERANCIS merasmikan loji janakuasa solar terapung pertama negara itu yang terletak di tenggara Piolenc pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Ekologi Elisabeth Borne.

“Sangat gembira untuk merasmikan stesen janakuasa solar di Piolenc di Vaucluse…yang juga menjadi kebanggaan negara,” kata Borne menerusi ciapannya. 

“Ia adalah taman fotovolta terapung pertama di Perancis dan yang terbesar di Eropah: lebih banyak tenaga boleh baharu dapat dihasilkan,” katanya.

Projek “O’MEGA1”, yang dibangunkan Akuo Energy, pengeluar tenaga boleh baharu terkemuka Perancis, berupaya membekalkan elektrik kepada lebih 4,000 isi rumah sambil melindungi planet ini, kata Setiausaha Negeri Brune Poirson.

Dengan 47,000 panel PV solar, kilang itu akan menghasilkan tenaga meliputi penggunaan kira-kira 10,000 orang dan akan membantu mengelakkan pelepasan 1,093 tan karbon dioksida (CO2). 

Perancis bergantung kepada 58 reaktor nuklearnya untuk menjana lebih 75 peratus keperluan elektrik. 

Dalam perancangan ekologi yang dilancarkan lewat tahun 2018, Presiden Perancis Emmanuel Macron mahu mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga nuklear dan kuasa atom untuk mewujudkan negara yang bebas karbon bebas pada 2050. – Bernama, 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen