Zahid tak percaya Hishammuddin berkomplot tubuh kerajaan baharu


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (belakang) tidak percaya tuduhan Hishammuddin Hussein berkomplot untuk tubuh kerajaan baharu.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak percaya bekas naib presiden parti itu Hishammuddin Hussein berkomplot dengan pemimpin Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.

Zahid berkata, beliau yakin ketua Umno Sembrong itu tidak melakukan perkara itu seperti yang didakwa pemimpin PH.

“Saya fikir itu hanya satu perkara yang dituduh kepada Hisham. Hisham tidak begitu. Hisham ikhlas untuk melihat Umno terus bersatu padu,” katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Oleh itu beliau menyokong usaha Hishammuddin dan menggesa semua pihak menyatu padukan parti-parti Melayu Islam supaya boleh bekerjasama.

“Dan tentu semua pihak harus berusaha untuk menggamit kebersamaan parti Islam dan Melayu untuk bekerjasama.

“Saya mendukung apa yang diusahakan oleh Hisham dan kita harus bersama-sama untuk menerjemahkan pelaksanaannya,” katanya.

Tuduhan itu juga dinafikan Hishammuddin minggu ini apabila namanya disebut oleh Anwar sebagai individu yang menjalankan usaha membentuk kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Amanah itu.

Anwar pada Selasa lalu meminta supaya ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak terpedaya dengan gerakan yang disifatkan sebagai “strategi karut” itu.

Majlis Setiausaha PH turut mengeluarkan kenyataan mengecam usaha terbabit.

Isu berkenaan semakin mendapat perhatian selepas pemimpin Melayu PH muncul bersama pemimpin Umno dan PAS dalam perhimpunan kontroversi Kongres Maruah Melayu.

Pemimpin bukan Melayu dalam PH terutama dari DAP mempersoalkan kewajaran perhimpunan berkenaan.

Zahid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Selangor di Shah Alam, hari ini. – 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen