Hariri beri tempoh 72 jam kepada kerajaan Lubnan


Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri semalam memberi tempoh 72 jam kepada kerajaan supaya menyokong usaha pembaharuannya. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2019.

PERDANA Menteri Lubnan Saad Hariri semalam memberi tempoh 72 jam kepada kerajaan supaya menyokong usaha pembaharuannya, ketika protes di negara itu masuk hari kedua semalam.

“Saya beri tempoh sangat singkat, 72 jam,” kata Hariri ketika berucap kepada di televisyen. Beribu penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di Beirut semalam.

“Sama ada sekutu dalam kerajaan memberi maklum balas yang jelas, jujur dan muktamad, untuk meyakinkan saya, rakyat Lubnan dan amsyarakat antarabangsa… bahawa semua orang setuju dengan pembaharuan, menghapuskan pembaziran dan rasuah, atau saya akan buat keputusan lain,” tambah Hariri.

Rusuhan di negara itu tercetus pada Khamis selepas kerajaan mengumumkan pengenalan cukai $0.20 ke atas panggilan di aplikasi seperti WhatsApp, yang digunakan secara meluas di Lubnan.

“Kemarahan rakyat sudah tentu atas keadaan hidup, tetapi ia juga berpunca dari sikap ahli politik,” kata Hariri.

Perdana menteri itu berkata beliau menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah negara sebelum protes tercetus.

“Selama berbulan kami menunggu sokongan dari sekutu dalam kerajaan mengenai cadangan pembaharuan,” katanya.

Pertumbuhan ekonomi Lubnan merosot ekoran konflik politik selama bertahun-tahun, ditambah kesan perang dari negara jiran, Syria.

Hariri pada tahun lepas mengambil masa selama lapan bulan untuk membentuk Kabinet. – AFP, 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen