PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan berikrar operasi di Syria akan diteruskan andai Amerika Syarikat (AS) tidak mengotakan janji, selepas Turki menghentikan sementara operasi ketenteraannya di utara Syria, lapor agensi berita Xinhua.
Jika janji tidak dikotakan, “operasi akan diteruskan sebaik tempoh 120 jam berakhir,” kata Erdogan pada sidang akhbar di Istanbul, Jumaat.
Pada Khamis Ankara dan Washington bersetuju gencatan senjata selama 120 jam, susulan lawatan Naib Presiden AS Mike Pence ke Turki.
Erdogan berkata rantau antara bandar Tal Abyad dan Ras al-Ayn telah berjaya dibersihkan daripada militia Kurdish juga dikenali Unit Perlindungan Rakyat (YPG).
“Proses itu akan berterusan,” katanya, sambil menyatakan bahawa terdapat tentera Rusia di Qamishli dan pasukan kerajaan Syria di beberapa tempat berbeza.
Beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan rakan sejawatnya, Vladimir Putin pada pertemuan mereka di Sochi, Rusia, 22 Oktober nanti.
Presiden Turki itu juga berikrar akan bertindak jika kerajaan Syria “membuat sebarang kesilapan” di rantau ini.
Turki merancang mewujudkan 12 pos kawalan di zon selamat yang boleh menampung sehingga dua juta pelarian Syria, katanya.
Turki menjadi tuan rumah kepada kira-kira 3.6 juta pelarian Syria, beban besar bagi sebuah negara yang dilanda masalah ekonomi.
Operasi ketenteraan dilancarkan pada 9 Oktober untuk membersihkan militia Kurdish dari timur laut Syria bagi mewujudkan zon selamat.– Bernama, 19 Oktober, 2019.
Komen