SPRM panggil Shafie Apdal untuk soal siasat


Jason Santos

SHAFIE Apdal dipanggil untuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di Sabah, kata sumber agensi anti rasuah dan sumber parti.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu yang kini berada di Kuala Lumpur dijadual tiba di Kota Kinabalu petang ini sebelum menghadirkan diri ke pejabat SPRM Sabah.

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight, Shafie sudah dipanggil dan akan disambut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu oleh ahli-ahli Warisan.

Dalam wawancara sebelum ini, Shafie membayangkan beliau akan dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan melibatkan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah, semasa beliau menjadi menterinya, antara 2009 hingga 2015.

Dua adik Shafie, Hamid dan Yusof, sebelum ini ditahan reman oleh SPRM berhubung siasatan yang sama. Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman yang bebas daripada tahanan reman minggu lalu, adalah juga anak saudara Shafie. 

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight minggu lalu, Shafie berkata beliau telah menjangkakan usaha untuk menjejaskan matlamat politiknya akan dibuat ketika dia membentuk Warisan, menyifatkan siasatan SPRM sebagai “pendakwaan terpilih” dan bermotifkan politik.

“Saya tahu SPRM dipergunakan sebagai alat oleh kerajaan,” katanya. 

Shafie turut meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan cara siasatan tu dijalankan yang mana katanya SPRM hanya mendapatkan rakan-rakannya dan saudara maranya dalam siasatan mereka.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata siasatan mereka “di luar politik”, dan menyatakan ia hanya mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. 

“Lihat siapa yang kami tahan. Kami tidak hanya tahan ahli Warisan, tapi juga ahli Umno. Siasatan kami berdasarkan bukti dan bukan parti politik. Ini di luar politik,” katanya. 

Suruhanjaya berkenaan menyiasat kira-kira 350 projek luar bandar membabitkan bekalan air dan elektrik, dan juga jalan yang diberikan oleh kementerian terbabit kepada 60 syarikat antara 2009 dan 2015.

Suruhanjaya itu sudah menyoal siasat 45 individu berhubung siasatan mereka. 

Mereka yang ditahan setakat ini adalah Naib Presiden Warisan Peter Anthony, ketua Pemuda Warisan, Aziz Jamman, ketua Umno Tenom Jamawi Jaafar, ketua Umno Tawau, Ariffin Kassim, seorang pegawai kanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun, dua adik kepada Shafie, Yussof dan Hamid Apdal dan menantu Hamid,  Manzur Hussein Awa Khan. 

Yusof yang juga ketua Umno Silam dan Adun Lahad Datu hanya direman semalam, manakala Hamid dibebaskan awal hari ini selepas direman sembilan hari. 

Beliau dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin. Enam lagi turut dibebaskan dengan ikat jamin. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen