-2.jpg)
LAGI-LAGI ada sahaja berita Dewan tak cukup korum apabila Dewan Rakyat bersidang. Pada 17 Oktober, Dewan tidak cukup korum dan paling teruk, kata ketua pembangkang.
Nampaknya sebahagian besar ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat Malaysia bukan spesis yang tahu malu dan serius dengan tanggungjawab mereka. Segelintir yang sentiasa ada dalam Dewan wajar diucapkan tahniah.
Dewan Rakyat tidak cukup korum memang makin serius. Paling malang ianya berlaku dibawah kerajaan baru Pakatan Harapan yang melaungkan PEMBAHARUAN itu dan ini.
Kalau macam ini pembaharuan apa? Pembaharuan 2 x 5 atau lebih teruk.. Malaysia Baru atau Malaysia Buruk. Jangan rakyat lempar persepsi atau anologi yang boleh menjatuhkan maruah ahli Parlimen sendiri.
Semasa saya menjadi ahli Parlimen pada 1986, 1990 dan 2008, Alhamdulilah kehadiran saya hampir penuh sepanjang masa.
Rekod Parlimen boleh disemak. Saya nyatakan ini nanti ada yang buat tuduhan bukan-bukan apabila saya bersuara perkara ini.
Memandangkan teguran atau ingatan berkali-kali tidak diambil berat, maka saya ingin mencadangkan langkah berikut dilaksanakan segera dan mengesa agar pentabiran Parlimen melalui peranan Speaker mengambil tindakan berikut:
i. Mana-mana ahli Dewan Rakyat yang tidak berada dalam Dewan setiap hari semasa persidangan kurang daripada 70% masa bersidang, maka elaun persidangan dan elaun tempat penginapan serta lain-lain dipotong sepenuhnya.
Ertinya, tidak berhak menerima apa jua bentuk elaun. Ahli Parlimen hanya berhak menerima elaun dan lain-lain faedah mengikut hari kehadiran yang mesti berada tidak kurang daripada 70% masa persidangan.
Contohnya, jika Dewan bersidang 10 jam, maka kehadiran dalam Dewan mesti tidak kurang daripada 7 jam kecuali ada kebenaran yang diluluskan oleh Speaker. Cuba bayangkan elaun hotel atau elaun penginapan dibayar, tetapi ponteng Parlimen atau hadir untuk tunjuk muka.
Paling menyedihkan ada ahli Parlimen hanya datang untuk daftar dan tunjuk muka, duduk 15-30 minit, keluar dan pulang. Bentara Dewan Rakyat boleh melaksanakan tugas ini.
ii. Nama ahli Parlimen yang ponteng secara berterusan (ditetapkan kaedahnya) disiar di papan layar yang dipasang di ruang lobi Parlimen untuk makluman orang ramai dan pihak media. Laporan Parlimen oleh TV juga patut sebut nama ahli Parlimen yang hadir lebih daripada 70% masa persdiangan setiap hari. Sehari selepas tamat persidangan, Parlimen boleh mendedahkan jumlah jam kehadiran setiap ahli Parlimen kepada umum dan disiar oleh media.
Ini sahaja mungkin cara untuk memastikan Dewan cukup korum sepanjang masa.
Apakah ahli Parlimen tidak malu kepada penjawat awam si semua peringkat atau kakitangan swasta yang mana mereka wajib hadir bertugas mengikut masa, atau berdepan dengan tindakan disiplin atau dipecat.
Bekerja pula sepanjang masa dan bukan macam ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Adun. Gaji bulanan pula begitu besar dan berbagai elaun boleh dituntut. Pencen pula besar dan ada yang dapat dua pencen. Ada yang dapat pencen dan dapat elaun bulanan jika kembali semula sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Adun.
Tetapi kakitangan awam berpuluh tahun bekerja baru dapat pencen. Lepas pencen makan pun tak cukup.
Sebagai pengubal undang-undang yang dikenali sebagai wakil rakyat serta menerima imbuhan gaji dan elaun yang lumayan serta kedudukan dipanggil Yang Berhormat, tidakkah boleh berkorban dengan semangat yang tinggi, sekadar menghadiri sidang Dewan yang diadakan 3-4 kali setahun dan paling lama Sidang Belanjawan 45 hari.
Mana yang dikatakan sifat pemimpin dan melaungkan demi rakyat? Ini yang patut cermin muka. Jangan rakyat yang memilih menuduh wakil mereka makan gaji buta. – 19 Oktober, 2019.
* Ibrahim Ali adalah presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen