Adik presiden Honduras didapati bersalah edar dadah 


Tony Hernandez disabitkan bersalah atas empat pertuduhan selepas dua minggu dibicarakan di mahkamah di Manhattan. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2019.

MAHKAMAH New York semalam memutuskan adik presiden Honduras bersalah atas kesalahan mengedar dadah.

Tony Hernandez disabitkan bersalah atas empat pertuduhan selepas dua minggu dibicarakan di mahkamah di Manhattan.

Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez menerusi Twitter berkongsi kesedihan atas keputusan mahkamah itu.

“Bagi pihak keluarga, dan saya sendiri, saya menerima berita mengenai keputusan (mahkamah) di New York dengan rasa sangat sedih,” kata Juan Orlando.

Tony ditahan di lapangan terbang Miami pada November tahun lalu atas dakwaan bersubahat menyeludup kokain ke Amerika Syarikat (AS), memiliki senjata dan mengeluarkan kenyataan palsu.

Hukuman ke atas bekas ahli kongres Hunduras berusia 43 tahun itu akan ditetapkan pada 17 Januari. Beliau berdepan hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup.

Susulan keputusan mahkamah itu, pembangkang di Honduras menggesa satu bantahan diadakan bagi menuntut presiden meletak jawatan. – AFP, 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen