SEKURANG-KURANGNYA 62 orang terbunuh dalam kejadian letupan di sebuah masjid semasa solat Jumaat di Afghanistan semalam, kata pihak berkuasa.
Kejadian berlaku sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata keganasan di negara itu kini di tahap melampau.
Jurucakap gabenor wilayah Nangarhar, Attaullah Khogyani berkata letupan dalam masjid itu juga mencederakan sekurang-kurangnya 33 orang.
Menurut Khogyani, pelaku meletakkan bom di dalam masjid manakala sumber lain termasuk Taliban berkata masjid itu mungkin diserang dengan mortar.
Taliban menyelar kejadian itu dan menyifatkannya sebagai “jenayah dahsyat”.
Saksi berkata bumbung masjid runtuh selepas letupan kuat dalam masjid. Seramai kira-kira 350 jemaah berada dalam masjid ketika itu, kata saksi.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menerusi jurucakapnya berkata antara mangsa yang cedera adalah kanak-kanak.
“Mereka yang bertanggungjawab atas serangan ini mesti dihukum,” kata jurucakap Guterres.
Khamis lalu, PBB menerbitkan laporan yang menyebut jumlah orang awam yang terbunuh atau cedera di Afghanistan antara Julai dan September tidak pernah berlaku di mana-mana. – AFP, 19 Oktober, 2019.
Komen