Bekas CEO FIC tidak setuju beli hotel di Kuching


BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, hanya beliau sahaja tidak bersetuju dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta.

Zaid, 48, memaklumkan demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Salehuddin Saidin, mewakili Mohd Isa Abdul Samad, pada hari kelapan perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah bekas pengerusi Felda itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, beliau tidak menyuarakan bantahan itu dalam mesyuarat lembaga pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

“Mesyuarat mengambil suara majoriti bagi persetujuan pembelian hotel berkenaan, namun tidak semua perkara dicatatkan dalam minit oleh setiausaha syarikat FIC,” katanya yang juga merupakan bekas ahli lembaga pengarah FIC.

Salehuddin: Adakah persetujuan daripada kamu (Zaid) mengenai pembelian hotel itu penting?

Zaid: Penting.

Salehuddin: Jadi kamu nak tunjuk yang kamu adalah seorang lelaki yang bertanggungjawab?

Zaid: Setuju.

Disoal Salehuddin adakah Zaid terdesak menyalahkan individu lain bagi menutup kesalahannya kerana tidak menyuarakan bantahannya dalam mesyuarat itu, Zaid menjawab “tak setuju”.

Beliau juga menolak cadangan Salehuddin bahawa persetujuan daripada beliau perlu diminitkan dalam mesyuarat kerana hanya beliau sahaja tidak bersetuju dengan pembelian hotel tersebut.

Pada Rabu lalu, dalam penyataan saksinya, Zaid berkata beliau tidak pernah bersetuju dengan harga hotel berkenaan bernilai RM160 juta yang ditawarkan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan pihak GAPSB dalam hal itu.

Pada 14 Disember 2018, Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan pecah amanah dan sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FIC.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Isa juga didakwa melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015. – Bernama, 18 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen