Bumbung kantin sekolah di Kuching runtuh, tiada kecederaan dilaporkan


Desmond Davidson

Keadaan kantin SK Siol Kanan di Kuching, Sarawak selepas bumbungnya runtuh tengah hari tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2019.

BUMBUNG kantin sebuah sekolah di Kuching runtuh selepas tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Seramai 875 murid SK Siol Kanan dan 67 tenaga pengajar serta pentadbirannya dilaporkan tiada di situ kerana menghadiri hari sukan sekolah mereka.

Laporan mengenai kejadian pada 12.50 tengah hari oleh guru besar sekolah Ismail Ibrahim seolah-olah membayangkan pihak berkuasa sekolah dan pejabat pendidikan daerah Kuching menyedari keadaan kantin itu yang tidak selamat dan pernah meluahkan kebimbangan insiden seperti itu mungkin berlaku.

Ismail menyatakan sekolah itu sejak sebulan lalu mengeluarkan arahan kepada murid untuk menjauhi kantin atau mengadakan sebarang aktiviti di situ.

Beliau juga menyatakan sekolah dan pejabat pendidikan telah menulis surat kepada Jabatan Kerja Raya yang meminta pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Menteri Pendidikan Negeri, Michael Manyin tidak menjawab pertanyaan The Malaysian Insights mengenai perkara itu. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen