GPMS desak Maszlee lindungi NC Universiti Malaya


SM Amin

Para penunjuk perasaan berkumpul di luar Universiti Malaya dalam protes menyokong naib canselor universiti berkenaan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Oktober, 2019.

SATU gabungan pertubuhan siswa mendesak menteri pendidikan melindungi Naib Canselor Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim yang ditekan beberapa pihak agar meletak jawatan.

Gabungan Pelajar Mahasiswa Semenanjung (GPMS) menuntut demikian kerana menyokong kenyataan Abdul Rahim di Kongres Maruah Melayu minggu lalu.

Presiden GPMS Mohd Alif Anas Md Noor berkata ucapan Abdul Rahim itu menepati peranan beliau sebagai ahli akademik dan pengurusan universiti.

“Kami desak Kementerian Pendidikan dan Maszlee Malik beri jaminan dan perlindungan kepada universiti dan naib canselornya sepenuhnya atas prinsip kebebasan akademik,” katanya.

Tambahnya, naib canselor mempunyai keistimewaan dan kebebasan akademik untuk menyampaikan pendapat beliau dalam ruang lintup undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perhimpunan bersama puluhan pelajar di hadapan pintu masuk UM petang ini.

Himpunan tersebut sebagai membantah tindakan seorang graduan Universiti Malaya Wong Yan Ke yang membuat protes Isnin lalu di atas pentas majlis konvokesyen universiti tersebut.

Graduan berusia 23 tahun itu mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, “Tolak Rasis” dan “Undur VC” sambil melaungkan “Ini tanah Malaysia” selepas menerima ijazah.

Tindakan tersebut sebagai membantah kenyataan Abdul Rahim dalam ucapan pada Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu yang memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mencabar kontrak sosial.

Rahim juga mendakwa perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 telah menghapuskan dominasi politik Melayu sehingga menyebabkan hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan.

Selain itu, GPMS turut memberi amaran kepada mana-mana individu dan NGO supaya menghormati kebebasan akaedmik dan tidak bersikap “kurang ajar” dalam menjalankan agenda mereka.

Jelasnya, tindakan kurang ajar itu adalah tuntutan sama daripada pemimpin politik dan NGO agar Abdul Rahim meletak jawatan.

“Kita menolak sekeras-kerasnya tindakan beberapa ahli politik, parti politik seperti DAP, peguam Siti Kassim, Suaram dan graduan itu yang biadap mahukan naib canselor meletak jawatan,” katanya.

Beliau juga mendakwa tindakan Wong itu dipercayai didalangi oleh DAP berdasarkan perlakuan dan aktiviti graduan itu di media sosial bersama parti itu.

“Kalau kita lihat di media sosial, beliau memang berada di belakang parti politik. Perkara ini mungkin telah dirancang awal untuk memalukan naib canselor ketika majlis konvokesyen

“Ini bukan kita punya andaian. Tindakan dan kenyataan yang dibuat juga selari dengan kenyataan Dapsy (Pemuda DAP) yang menggesa naib canselor meletak jawatan,” katanya.

Seorang lagi pemimpin NGO, Zambri Mohd Isa menuntut polis membuka menyiasat, menahan dan melakukan pendakwaan segera ke atas Wong.

Pengerusi NGO Keilmuan Nasional itu berkata mereka bimbang tindakan itu akan membuka ruang kepada graduan yang lain melakukan perkara yang sama.

“Kita tidak setuju jika diberi apa-apa kelonggaran kepada beliau (Wong) kerana ini akan menggalakkan graduan pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu graduan menjadi lebih biadap dalam konvokesyen,” katanya.

UM telahpun membuat laporan polis atas dakwaan protes di pentas tersebut mencemarkan nama baik universiti, tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat berkenaan. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen