Kesesakan di kaunter klia2 bukan kes terpencil, kata Fernandes


Jason Santos

Fernandes menjawab soalan daripada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2019.

KESESAKAN di kaunter imigresen KLIA2 berlaku setiap hari dan bukan kes terpencil seperti yang didakwa oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), kata Tony Fernandes.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu menyifatkan pengendali lapangan terbang MAHB sebagai “pelik”.

“Ia bukan kes terpencil melainkan MAHB mempunyai definisi berbeza. Tetapi adalah lebih baik mereka mengakui masalah ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal di Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah hari ini.

Tony sedang dalam lawatan ke Sabah menerusi pelan pengembangan syarikat penerbangan itu di negeri berkenaan dan menerima jemputan hormat daripada Mohd Shafie.

Dalam satu kenyataan pagi ini, MAHB berkata beratur panjang di kaunter imigresen klia2 semalam adalah insiden terpencil.

Masa yang diambil untuk beratur hampir dua jam mendatangkan kemarahan penumpang dan syarikat tambang murah berkenaan.

Pengendali lapangan terbang berkata itu merupakan insiden terpencil dan kelulusan imigresen di klia2 mengambil purata masa 10 minit.

Berdasarkan pemerhatiannya, MAHB menjelaskan, penggunaan kaunter imigresen berada pada tahap 70% ketika situasi luar biasa itu berlaku.

Ketua Pegawai Operasi MAHB Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ia sudah menghubungi imigresen untuk menyatakan kebimbangan itu dan bekerja sama rapat dengan jabatan itu untuk menghalang kejadian sama daripada berulang.

“Kami mengakui wujud kekangan tertentu dihadapi imigresen dan ketika mereka berusaha meningkatkan sumber, lapangan terbang akan mencari jalan meningkatkan pengalaman penumpang dengan mengurangkan kesesakan di kawasan itu,” katanya. – 18 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen