Mahkamah London tolak rayuan aktivis alam sekitar batal larangan protes


Larangan mengadakan protes di seluruh London akan berkuatkuasa pada Jumaat dan hujung minggu sehingga minggu depan susulan protes sebelum ini mencetuskan masalah besar kepada perkhidmatan kereta api bawah tanah. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2019.

SEORANG hakim di London pada Khamis menolak rayuan aktivis alam sekitar untuk membatalkan larangan polis terhadap protes yang dianjurkan di ibu negara British, lapor agensi berita Xinhua.

Sehubungan itu, larangan mengadakan protes di seluruh London akan berkuatkuasa pada Jumaat dan hujung minggu sehingga minggu depan.

Protes sebelum ini telah mencetuskan masalah besar kepada perkhidmatan kereta api bawah tanah.

Keadaan itu memaksa pekhidmatan kereta api bawah tanah Jubilee Line dan Docklands Light Railway (DLR) digantung buat sementara waktu. Lapan penunjuk perasaan ditangkap.

Datuk Bandar London Sadiq Khan mengecam tindakan penunjuk perasaan yang menyasarkan perkhidmatan kereta api bawah tanah. 

Menurutnya,“Tindakan menyalahi undang-undang ini sangat berbahaya, tidak produktif dan menganggu serta menjejaskan orang ramai.”

Polis Metropolitan pada Isnin mengenakan larangan perintah awam yang melarang aktiviti demonstrasi di semua kawasan di London, namun tidak diendahkan aktivis.

Peguam mewakili aktivis mengemukakan permohonan kes itu didengar semula untuk mencabar perintah berkenaan, tetapi ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Dingemans.

Penunjuk perasaan menuntut larangan dibatalkan menjelang kempen tunjuk perasaan selama dua minggu itu berakhir pada 19 Oktober.

Polis telah membuat lebih 1,700 tangkapan sejak kempen bermula minggu lalu. – Bernama, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen