Video tunjuk tawaran rasuah, pegawai sempadan terima, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Cawangan Forensik Audio Video SPRM Badri Azni berkata video risikan agensi itu dapat merekod dengan jelas tawaran dan penerimaan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Oktober, 2019.

KEGIATAN penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand berlangsung secara terancang dengan pegawai agensi kawalan sempadan yang terlibat rasuah, menurut agensi antirasuah.

Ketua Cawangan Forensik Audio Video Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Badri Azni berkata video risikan agensi itu dapat merekod dengan jelas tawaran dan penerimaan rasuah.

“Modus operandi kumpulan penyeludup ini adalah berjumpa dengan anggota keselamatan di sempadan dan jelas kelihatan sesuatu dipercayai wang dihulur kepada mereka untuk mendapatkan kebenaran.

“Biasanya aktiviti penyeludupan ini berlaku pada waktu pertukaran syif iaitu antara 6 hingga 9 pagi,” katanya pada sidang media bersama ketua pesuruhjaya SPRM hari ini.

Katanya, risikan antara 2017 hingga Mei 2019 itu mendapati barangan diseludup ke Thailand adalah barangan bersubsidi tepung, bawang, beras, minyak masak, baja, diesel dan petrol.

“Kami juga percaya daun ketum yang mencecah RM100 per kilo di Thailand turut diseludup keluar bagi memperoleh keuntungan tinggi,” katanya.

Semua bukti rakaman video penyeludupan diserahkan kepada ketua polis negara dan SPRM akan bekerjasama dengan polis dalam mengenal pasti pegawai dan kakitangan yang bertugas ketika. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Oktober, 2019.

Jelasnya, penyeludupan itu melibatkan beberapa pekerja yang memindahkan barangan kepada rakan penyeludup melalui pagar sempadan yang dipotong.

“Kumpulan ini juga lengkap dengan walkie talkie bagi tujuan menyalurkan maklumat supaya aktiviti mereka selamat tanpa gangguan penguatkuasa,” katanya.

“Ketika video ini dirakam juga ada satu jip peronda melalui kawasan berkenaan dan kumpulan ini menghentikan aktiviti beberapa minit sebelum menyambung semula proses pemunggahan.

“Di Thailand pula, barang yang berjaya diseludup keluar itu dilarikan dengan menaiki motosikal dan kereta pacuan empat roda,” katanya.

Kumpulan itu juga menghilangkan jejak dengan membasuh kesan tapak kaki di jalan raya dan membentangkan kanvas di sepanjang laluan mereka.

Pegawai yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) pula didapati leka bermain dengan telefon bimbit dan mengabaikan kegiatan penyeludupan berkenaan.

“Semua bukti rakaman video ini baru diserahkan kepada ketua polis negara dan kami akan bekerjasama dengan polis dalam mengenal pasti pegawai dan kakitangan yang bertugas ketika itu selain yang kelihatan dalam video.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Jun lalu, The Malaysian Insight melaporkan kebocoran sempadan di Bukit Kayu Hitam dan kegiatan rasuah melibatkan kumpulan pegawai agensi kawalan sempadan.

Pegawai berkenaan didakwa menerima imbuhan sekurang-kurangnya RM10 daripada setiap bas ekspres dan van pelancong yang masuk ke Malaysia dari Thailand.

Imbuhan itu bagi mengelakkan kenderaan mereka diperiksa terlalu teliti oleh penguatkuasa sehingga melambatkan perjalanan.

Ia menyebabkan sesetengah barangan kawalan dan larangan dari Thailand boleh dibawa masuk dengan mudah ke Malaysia tanpa dikenakan cukai. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen