KETUA pegawai eksekutif (CEO) Apple bertemu pengawal selia pasaran China selepas gergasi teknologi itu dikritik hebat berhubung satu aplikasi yang didakwa menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong, kata pihak berkuasa.
Apple pada 9 Oktober membuang aplikasi HKmap.live selepas dikiritik dan ditekan Beijing yang menyifatkan ia menyokong pergerakan pro-demokrasi di Hong Kong.
Media tempatan China berkata aplikasi itu membolehkan penunjuk perasaan di Hong Kong menjejak pergerakan polis.
Apple kemudiannya dituduh lebih mengutamakan keuntungan perniagaan melebihi hak asasi manusia selepas membuang aplikasi HKmap.live.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran China, CEO Apple Tim Cook bertemu pengarah pihak berkuasa itu, Xiao Yaqing di Beijing semalam.
“Kedua-dua pihak berbincang mengenai pelbagai topik termasuk pelaburan dan pembangunan perniagaan di China, perlindungan dan kepentingan hak pengguna, serta memenuhi tanggungjawab sosial korporat,” menurut kenyataan itu.
Akhbar lidah rasmi Parti Komunis China, People’s Daily pada minggu lepas berkata Apple “mencampur aduk perniagaan dengan politik dan perbuatan menyalahi undang-undang” dengan menyediakan aplikasi itu.
“Jelas sekali Apple membantu penunjuk perasaan,” artikel akhbar itu dipetik.
“Adakah ini bermakna Apple berniat bersubahat dengan penunjuk perasaan?”
“Cook pada minggu lepas berkata keputusan Apple untuk membuang aplikasi HKmap.live diambil selepas menerima “maklumat sahih” bahawa aplikasi itu digunakan untuk niat jahat.
Pencipta aplikasi HKmap.live menyelar tindakan Apple, berkata tindakan gergasi teknologi itu sangat jelas bermotifkan politik untuk menyekat kebebasan. – AFP, 18 Oktober, 2019.
Komen