Myanmar gagal lindungi Rohingya daripada kekejaman, kata PBB


Lebih 600,000 orang Rohingya beragama Islam di Rakhine menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa pembersihan etnik tentera Myanmar. Kebanyakan mereka kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2017.

KERAJAAN Myanmar gagal memenuhi tanggungjawab antarabangsa dan melindungi etnik Rohingya beragama Islam daripada kekejaman yang berlaku di negeri Rakhine, kata dua penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Kenyataan daripada penasihat khas PBB mengenai pencegahan pembunuhan beramai-ramai, Adama Dieng, dan penasihat khusus mengenai tanggungjawab untuk melindungi, Ivan Simonovic, menambahkan tindak balas pihak antarabangsa terhadap krisis itu juga merupakan satu kegagalan.

“Walaupun terdapat amaran dikeluarkan oleh kami dan ramai pegawai lain, kerajaan Myanmar gagal memenuhi kewajibannya di bawah undang-undang antarabangsa dan tanggungjawab utama untuk melindungi penduduk Rohingya daripada jenayah kekejaman,” kata kenyataan bersama itu.

“Masyarakat antarabangsa sama-sama gagal dalam tanggungjawabnya dalam hal ini,” tambah mereka.

Sejak akhir Ogos lebih 600,000 Rohingya melarikan diri daripada kempen tentera di negeri Rakhine yang disifatkan oleh PBB sebagai pembersihan etnik.

Majlis Keselamatan PBB telah meminta Myanmar menamatkan operasi ketenteraan di Rakhine, memberi akses kepada pekerja bantuan dan membenarkan pengembalian pelarian Rohingya dengan selamat.

Bagaimanapun, pihak majlis tidak menyusuli rayuannya dengan tindakan seperti menguatkuasakan sekatan, yang dikatakan ditentang oleh China, penyokong bekas junta Myanmar dan Rusia.

“Sekali lagi, kegagalan kita untuk menghentikan jenayah kekejaman menjadikan kita bersubahat. Bilakah kita akan memenuhi janji yang tidak terkira banyaknya ‘tidak akan lagi’? “Soal penasihat itu.

Pihak berkuasa Myanmar berhujah yang operasi ketenteraan di Rakhine adalah untuk menghapuskan militan berikutan serangan ke atas pos polis pada akhir Ogos.

Laporan baru-baru ini oleh pejabat hak asasi manusia PBB menuduh Myanmar berusaha mengusir terus Rohingya, dengan menanam ranjau letupan darat di sempadan Bangladesh, tempatpara pelarian mendapatkan perlindungan.

Pegawai hak asasi PBB yang bercakap kepada pelarian, memberi maklumat tentang askar-askar yang mengelilingi rumah dan menembak tanpa mengira penduduk yang cuba menyelamatkan diri, dan lelaki berpakaian seragama merogol wanita dan kanak-kanak, yang sesetengahnya baru berusia lima tahun.

“Dalam beberapa kes, sebelum dan semasa serangan, megafon digunakan untuk mengumumkan: ‘Anda tidak berhak untuk berada di sini - pergi ke Bangladesh. Sekiranya anda tidak meninggalkan tempat ini, kami akan membakar rumah dan membunuh anda’,” kata laporan itu.

Pegawai hal ehwal politik tertinggi PBB, Jeffrey Feltman, kembali pada Selasa selepas perbincangan lima hari di Myanmar yang gagal membuahkan sebarang hasil.

Feltman dijangka melaporkan kepada Majlis Keselamatan berhubungan perbincangannya itu. – AFP, 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen