Biar polis ambil tindakan lanjut kes Nga Kor Ming, kata Najib


Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau dipanggil untuk beri keterangan sebagai saksi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Oktober, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menyerahkan polis menyiasat laman Facebook “Nga Kor Ming Super Fans Page”, selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini. 

Ahli Parlimen Pekan itu tiba di Bukit Aman pada jam 11 pagi tadi menaiki Toyota Alphard dan disoal siasat selama satu jam.

“Saya dipanggil sebagai saksi dalam siasatan terhadap ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

“Saya serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya meninggalkan Bukit Aman selepas soal siasat selesai kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Bekas perdana menteri itu disoal siasat berhubung hantaran di Facebook berkenaan catatan di laman “Nga Kor Ming Super Fans Page”.

“Mereka soal saya tentang hantaran itu dan tujuannya, juga apa peranan saya memuat naik hantaran itu.”

Tambah Najib, polis tidak akan memanggilnya semula dalam waktu terdekat berhubung siasatan tersebut.

Pada 29 September, satu kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik di laman “Nga Kor Ming Super Fans Page”.

Kenyataan itu didakwa mengajak kaum Cina mengadakan protes terhadap Sultan Selangor yang menitahkan larangan menggunakan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Nga bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat membuat hantaran itu dan menegaskan akaun tersebut adalah palsu.

Najib menerusi laman Facebooknya pula mendakwa ahli Parlimen Teluk Intan itu dalang di sebalik hantaran tersebut. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen