Kementerian mahu reda isu protes di majlis konvo UM


Diyana Ibrahim

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata beliau cuba pertemukan pelajar terbabit dengan pentadbir Universiti Malaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Oktober, 2019.

KEMENTERIAN berusaha meredakan isu di antara Universiti Malaya dan pelajar yang melakukan protes ketika majlis konvokesyen minggu lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Teo berkata beliau sedang berusaha mengadakan pertemuan di antara pelajar terbabit dengan pentadbir Universiti Malaya bagi mencari jalan penyelesaian bagi konflik tersebut.

Katanya percaya keadaan boleh diredakan dengan penglibatan pihak terbabit dan bukan dengan tindakan yang emosi.

“Kita masih dalam proses mendapatkan penglibatan kedua-dua pihak. Bagi pendapat saya nak selesaikan masalah ini kita perlu ada pengibatan bersama bukan dengan marah.

“Jadi kita dalam proses buat itu, jadi tunggu saja pengumuman kami,” katanya kepada wakil media selepas program penyampaian pek kembali ke Sekolah di SK Klang Gate, Gombak Selangor.

Ditanya mengenai petisyen kumpulan Mahasiswa UM untuk tuntut universiti terbabit menarik kembali sijil graduan berkenaan, Teo berkata ijazah berkenaan tidak patut ditarik balik.

“Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan itu (tarik balik ijazah),” katanya

Mengulas mengenai laporan laman sesawang UM yang diserang penggodam, beliau berkata masih belum mendapat maklumat mengenai insiden tersebut.

Pelajar tersebut, Wong Yan Ke, 23, menayangkan plakad menuntut Naib Canselor Abdul Rahim Hashim meletak jawatan di atas pentas graduasi selepas menerima skrol ijazahnya.

Menurutnya, Rahim antara lain menjadi boneka politik dan mempromosi perkauman dan kebencian melalyui dalam ucapan di Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Dalam ucapan itu, Rahim antara lain memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mencabar kontrak sosial.

Rahim juga didakwa menyebut perubahan kerajaan dalam PRU14 lalu menghakis kuasa politikorang Melayu dan hak keistimewaan kaum itu juga dipersoalkan.

Susulan itu UM membuat laporan polis ke atas pelajar berkenaan kerana didakwa mencemarkan nama baik universiti, tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen