Polis NZ lakukan percubaan rondaan bersenjata di masjid


Polis New Zealand melakukan rondaan di masjid Al-Noor di Christchurch susulan insiden tembakan rambang yang menyebabkan 51 jemaah maut pada Mac lalu. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2019.

POLIS New Zealand memperkenalkan polis peronda bersenjata pada setiap Jumaat susulan serangan di masjid di Christchurch hingga menyebabkan 51 jemaah meninggal dunia.

Setakat ini anggota polis berkawal tapi tanpa senjata, tetapi Pesuruhjaya Mike Bush berkata perubahan perlu dilaksanakan selepas insiden tembakan rambang paling buruk itu berlaku dalam sejarah moden New Zealand pada Mac lalu.

“Susulan kejadian pada 15 Mac di Christchurch, persekitaran operasi kami sudah berubah,” kata Bush.

“Ancaman terus kekal pada paras sederhana dan kami akan terus menyemak semula peralatan, latihan dan kemampuan kami untuk menyediakan khidmat kepolisian bagi memastikan kita dapat memberikan yang terbaik.”

Anggota keselamatan yang melakukan rondaan secara kerap di New Zealand tidak membawwa senjata, tetapi Skuad Bersenjata (AOS) akan dikerahkan jika diperlukan.

Di bawah sistem baharu yang sudah pun melalui proses percubaan di tiga wilayah termasuk Christchurch, pegawai AOS akan secara kerap melakukan rondaan menggunakan kenderaan khas, bagi membolehkan masa respons lebih pantas.

“Percubaan pasukan baharu ini akan dipantau rapat dan ia tidak bermakna polis akan beralih kepada anggota bersenjata secara rutin,” kata Menteri Polis Stuart Nash.

Dua anggota polis yang menahan penembak di masjid itu bersenjata pada masa berkenaan, dan sehari sebelumnya menghadiri sesi latihan mengendalikan pesalah bersenjata.

Kedua-duanya yang identiti tidak didedahkan, menerima anugerah keberanian daripada Perdana Menteri Jacinda Ardern minggu ini. – AFP, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen