Penjara di Pulau Rikers akan ditutup


Penjara di Pulau Rikers di New York akan ditutup dan diganti dengan kompleks penjara lebih kecil di Manhattan, Brooklyn, Queens dan Bronx. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2019.

PIHAK berkuasa New York meluluskan rancangan bernilai berbilion dolar, untuk menutup operasi penjara di Pulau Rikers dan diganti dengan kompleks penjara lebih kecil.

Penjara di Pulau Rikers antara penjara berprofil tinggi di Amerika Syarikat (AS).

Beberapa selebriti seperti Sid Vicious dari kumpulan Sex Pistols; penyanyi rap Tupak Shakur dan bekas pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn pernah ditahan di penjara itu.

Sejak beberapa tahun lalu, peguam dan pakar kaji jenayah mendesak kerajaan menutup penjara itu, susulan keadaan bangunan dan insiden keganasan membabitkan banduan serta pengawal.

Selain itu, kedudukan penjara terbabit di kawasan pedalaman turut menyukarkan ahli keluarga mengunjungi banduan.

Khamis lalu, majlis bandar raya New York mengundi memihak kepada cadangan dibentangkan Datuk Bandar Bill de Blasio, membabitkan peruntukan AS$8.7 bilion (RM36.5 bilion) untuk menutup penjara itu menjelang 2026.

Menurut rancangan itu, empat kemudahan penjara lebih kecil akan dibina di beberapa lokasi di sekitar pusat kewangan AS.

Lokasinya ialah Manhattan, Brooklyn, Queens dan Bronx.

Selain lebih selamat dan menyediakan kemudahan lebih mesra banduan, ia juga bakal memudahkan ahli keluarga melawat banduan yang ditahan di penjara baharu itu. – AFP, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen